TAZKIRAH : UJIAN ITU UNTUK MENGUATKAN



“Sungguh menakjubkan perkaranya orang mukmin. Segala sesuatu yang terjadi padanya semua merupakan kebaikan. Ini terjadi hanya pada orang mukmin. Jika mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu kebaikan baginya. Jika mendapat keburukan dia bersabar, maka itu juga kebaikan baginya“ 
(Riwayat Muslim)
....................................
Arnab seperti yang kita sedia maklum sifatnya, merupakan haiwan ciptaan allah yang sangat pemalu dan penakut. Arnab akan melompat lari ketakutan sekiranya ada makhluk lain cuba menghampiri mereka.
Pada suatu hari, di sebuah hutan belantara, ada sekumpulan arnab sedang bermesyuarat untuk membincangkan nasib yang melanda  diri mereka yang penakut. Salah seekor daripada kumpulan arnab ini mencadangkan untuk lebih baik mereka membunuh diri. Dengan terjun ke dalam sungai.
Oleh kerana semuanya sudah putus harapan untuk hidup kerana dibelenggu ketakutan, akhirnya cadangan itu diterima sebulat suara tanpa bantahan.
Setibanya di tebing sungai, terdapat sekumpulan katak sedang berkumpul. Kumpulan arnab dan katak ini masing-masing terkejut. Oleh kerana terkejut melihat ramai arnab-arnab meluru ke tebing sungai dari arah hutan, kumpulan katak pun melompat masuk ke dalam sungai.
Melihat keadaan itu, lalu seekor arnab pun bersuara.
“Mengapa kita perlu bunuh diri. Jika ada lagi haiwan yang lebih penakut daripada kita.”
Akhirnya, kumpulan arnab ini memutuskan untuk membatalkan niat dan hasrat membunuh diri.  Mereka kembali masuk ke dalam hutan dan meneruskan kehidupan seperti basa sebagai seekor arnab.
………………………………………………
Kisah ini mengajar kita untuk melihat masalah dari perspektif yang berbeza.  Ingat masih banyak nikmat Allah diberikan kepada kita tanpa sedar.
Hidup ini untuk diuji dan Allah SWT  tidak akan memberi ujian pada  hambanya melebihi kemampuan untuk mengatasinya. Ayuh kembalilah kita kepada agama. Penyelesaian segala permasalahan dalam kehidupan.

“Sesungguhnya orang-orang yang bersabar, ganjaran bagi mereka adalah tanpa hisab (tak terhingga).”

 (Surah Az Zumar: 10)

No comments