TAZKIRAH : TEGURAN YANG TIDAK DIDUGA



Laju langkah Che Pah menuju ke perhentian bas utama. “Aduh aku dah lambat ni. Mana bas ni.” Jam tangan dibelek. Cemas. Gelisah. Walhal punya 10 minit lagi masa yang ada untuk bertemu dengan orang yang dijanjikan. Punggung terasa panas, sehingga menyebabkan dia tidak senang duduk.
“Assalamualaikum. Nak ke mana adik?”
Kepala menoleh ke sebelah.
“Eh, waalaikumussalam kak. Ada janji dengan kawan nak jumpa hari ni.”
“Cemas semacam je. Dah lambat eh?”
Malu. Kerana disebabkan perasaan yang tak menentu, dia tidak menyedari bahawa tingkahnya diperhatikan kakak bertudung biru itu.
“Tak adalah lambat mana kak. Tapi saya tak suka orang tunggu saya.” Senyum kecil dihulur.
“Hmm. Kita ni manusia suka mungkir janji kan? Janji dengan Tuhan Maha Pencipta pun kadang tu manusia ni lupa, apatah lagi janji dengan manusia itu sendiri, sesama jenis.”
Emm. Kita dah lambat ni, dia ajak sembang pulak. Dahlah tak kenal. Namun telinga masih dipasang. Tak apalah, isi masa sementara tunggu bas sampai.
“Maksud akak?”
“Akak bukan tuju kat adik tau. Akak cakap apa yang akak buat.”
Melihat anggukan Che Pah, kakak bertudung biru menyambung sambil mata lurus memandang ke hadapan.
“Akak pun tak suka orang tunggu akak. Daripada orang tunggu akak baik akak tunggu dia. Sebab kita dah janji. Kalau dia lambat, itu dipihak dia dengan Allah sebab nak mungkir janji. Tapi bila akak fikir-fikir balik, akak tak suka orang tunggu akak, tapi kenapa akak suka buat Allah tunggu akak? Allah yang menciptakan akak, alam semesta ni.”
Che Pah menahan nafas. Tahu apa yang bakal kakak bertudung biru itu katakan. HablumminAllah. Hubungan dengan Allah. Namun mulut masih terkatup. Telinga dibuka luas-luas. Rasa cemas makin hilang.
“Hubungan dengan Allah pun akak tak jaga. Masa untuk jumpa Allah 5 kali sehari dah ditetapkan, tetapi akak masih leka dengan dunia. Solat kadang culas. Subuh kadang terlajak sampai kena qada’. Kalau tertidur sebab penat sangat lepas Asar sampai Maghrib pun dah nak habis waktu. Belum kira lagi ibadah sunat. Seminggu berapa kali boleh bilang. Manusia macam akak ni kufur nikmat Allah. Akak rasa akak istidraj pun iya. Allah beri apa yang akak nak, tapi akak? Beri ke apa yang Allah nak?”
Kakak bertudung biru dilihat menghela nafas berat. Mukanya jelas kelihatan kesal.
“Macam mahasiswa juga adik. Sentiasa nak hak sebagai mahasiswa. Tapi hak kepada pihak pentadbiran universiti, mahasiswa tu tunaikan tak? Hak pihak pentadbiran universiti untuk pelajar dia dapat pointer bagus, naikkan rating universiti. Hak pihak pentadbiran supaya peraturan dipatuhi. Hak pensyarah untuk nak setiap murid hadir ke kelas. Hak ibu bapa pada kita. Entahlah dik, kadang kita sibuk fikir diri kita sampai lupa pihak lain.”
Che Pah mengangguk perlahan. Senyum diukir. Allah temukan dia dengan seseorang, untuk sedarkan dia perkara yang sering dia terlupa. Kakak bertudung biru. Perlahan kepala diangkat. Kakak bertudung biru itu turut menghulur senyum. Manis! Tangan kakak tersebut lembut menepuk tangannya. Tanda perlakuan mesra.
“Akak minta maaf adik. Apa entah akak membebel. Awak jadi mangsa nak mendengar.”
“Eh, tak apa kak. Terima kasih atas nasihat akak.”
Kejujuran dapat dilihat dari mata kakak bertudung biru tersebut. Hati Che Pah terasa sejuk. Ada hikmah Allah terlewatkan dia hari ini. Ada perkara yang ingin Allah tegur kepada dia melalui kakak tersebut.
“Jom kak. Bas dah sampai.”
Punggung diangkat pelahan, tangan menggenggam kad RapidKL. Bersedia.
“Eh, tak. Akak tak tunggu bas. Kejap lagi kawan akak datang ambil. Hati-hati ya dik. Kirim salam kawan adik. Assalamualaikum.” Senyum lagi. Murah senyuman kakak ini. Kepala diangguk perlahan.
“Oh yeke. Kak pun hati-hati. In shaa Allah. Waalaikumussalam kak.” Kepala ditunduk hormat.
Kakak bertudung biru itu bangun. Menyalam dan memeluknya erat. Terkedu.
Belum pernah lagi seseorang yang dia tidak kenali melakukan dirinya sebegitu rupa. Rasa terharu tak payah cakap, menggunung!
Pelukan kakak tersebut dibalas. Sama erat! Alhamdulillah. Terima kasih kakak bertudung biru. Terima kasih Allah kerana hadirkan teguran melalui kakak bertudung biru itu.
Worth listening.

Fi amanillah. Wa ilalliqa’.

TAZKIRAH : JANGAN MERAJUK DENGAN ALLAH



Dalam hidup ini ada perkara berjalan tidak seperti yang kita harapkan. Kita mengharapkan dapat, namun belum beroleh rezeki.
Kita berharap banyak, namun diberi sedikit dan kita juga berharap kekal, namun takdirnya tidak lama. Jadi kita pun tertanya-tanya sampai membawa kepada rasa kecewa dan terluka.
Hidup tak dapat lari daripada ujian
Hakikatnya ujian hadir untuk semua orang. Tuhan bukan menguji kita saja-saja.
Selain untuk menjadikan kita lebih kuat (kerana Dia Yang Maha Tahu itu tahu kekuatan kita), ujian juga dapat menghapuskan dosa-dosa kita yang lalu dan meningkatkan darjat kita.
Kadangkala mungkin kita diuji sedikit hari ini hanya untuk mengelakkan perkara yang lebih mudarat di masa depan.
Kadangkala ujian hadir hanya mahu mengukur sejauh mana rasa mahu dan usaha kita. Adakah kita benar bersungguh dan ikhlas.
Di situlah hikmahnya, iaitu kita perlu perbaiki niat dan usaha kita. Semua di dunia sifatnya sementara, begitu juga ujian. Pasti akan hilang dan berlalu juga.
Yang kita lihat sedang tersenyum dan mewah, pasti juga diuji namun mungkin saja kita tidak nampak.
Sebelum terlalu jauh membanding dengan yang lain, lihat dulu nikmat yang kita ada, mungkin itu yang mereka dan yang lain juga tiada.
Dan yakinlah semua kita ada bahagian-bahagiannya, begitu juga dengan rasa gembira.
Para Nabi juga diduga
Para Nabi juga diuji. Ada yang diuji dengan sikap kaumnya (Nabi Lut), penentangan dakwah oleh keluarga sendiri (Nabi Nuh), ada yang diuji dengan kesakitan yang mudarat (Nabi Ayub), malahan ada juga diuji dengan wanita (Nabi Yusuf) dan juga kemewahan (Nabi Sulaiman).
Malahan Nabi Muhammad SAW sendiri pernah diuji dengan pelbagai ujian, antaranya adalah tahun dukacita (‘Aamul Huzni), tahun yang mana dia kehilangan dua orang yang amat dikasihinya, iaitu pak ciknya Abu Talib serta isterinya Khadijah binti Khuwaild dan menghadapi penentangan dakwah oleh penduduk Thaif. Saat yang lebih berat dirasakan berbanding kekalahan dalam peperangan Uhud.
Namun Allah mengurniakan nikmat yang lebih besar setelah itu, antaranya peristiwa Israk dan Mikraj. Yang kita sendiri tahu banyak peristiwa menarik melaluinya terutamanya solat.
Tapi, kenapa kita diuji?
Muhasabah adalah satu sikap yang bagus. Persoalan-persoalan yang membawa kita menemui semula jalan dan kembali kepada kebenaran. Namun bukan untuk selamanya menyalahkan lantas membawa kepada kekecewaan dan hilang pertimbangan.
“Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);” (Surah Al-Mulk 67: ayat 2)
Bukan semua diuji seperti kita, yang dapat melihat diri semula, yang berpeluang memperbaiki, yang diangkat darjat dan diampun dosa malahan mungkin ujian itu juga salah satu cara kita menerima perunjuk dan hidayah.
Sedarlah kita hanya hamba. Kepada Dialah kita perlu sandarkan harap.
Boleh saja menangis dan meluah. Adalah normal untuk kita bersedih. Namun bukan untuk meratap dan tidak bergerak.
Perjalanan hidup masih panjang, dan janganlah sia-siakan umur yang berbaki hanya kerana satu dua perkara yang menggguris hati.
Apa yang berlaku dalam diri kita ini sangat perlu dijaga. Putus asa bukanlah sikap orang beriman. Kita semua masih ada harga diri dan matlamat utama dalam hidup. Maka teruskanlah perjalanan sementara ini.
Walaupun kita mungkin saja belum menemukan cara memeluk bahagia, namun elakkanlah terlalu menikmati luka. Hidup sementara adalah untuk dihargai. Percayalah, akan ada hikmah di hadapan menanti.
Allah tidak zalim
Banyak bukti di sekeliling kita malahan dalam ayat Al-Quran juga menyatakan betapa Allah tidak akan sesekali menzalimi diri kita, melainkan kita sendiri yang menzalimi diri kita.
Malahan kita akan dapat berlipat kali ganda pahala jika mengerjakan amal kebaikan.
“Barangsiapa yang mengerjakan amal yang soleh maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri dan barangsiapa mengerjakan perbuatan jahat, maka (dosanya) untuk dirinya sendiri dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya.” (Fussilat 41:ayat 46)
Kita mungkin saja merajuk dan kecewa, namun kita tidak akan mampu sesekali menafikan semua rezeki pemberianNya.
Daripada saat kita bernafas dan melihat dunia, seterusnya kepada memperoleh apa yang kita telah dan sedang ada sehinggalah kepada usia kita yang semakin bertambah. Terlalu banyak untuk dihitung. Masya-Allah.
Yakinlah, pelangi pasti akan muncul!
“Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah.” [HR.Muslim (no.2664)]
Kekuatan setiap orang tak sama, tapi semua orang kuat dengan jalan masing-masing. Jika dahulu boleh, sekarang mesti juga boleh. Jika dahulu pernah kuat, akan datang insya-Allah akan lebih kuat.
Allah itu Maha Penyayang. Dia sendiri telah menyatakan setiap kesulitan itu akan ada kemudahan selepasnya, 2 kali dinyatakan dalam surah Ash-Syarh (al-insyirah). Pastinya ada, tetap akan ada dengan izin-Nya.
Letakkan pengharapan hanya pada Allah. Berusaha, berdoa dan berserahlah!
Doa itu tiada keterbatasan dan rahmat Allah itu terlalu luas, maka berdoalah apapun selagi tak mendatangkan dosa. Haraplah hanya pada-Nya.
“Katakanlah (wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): “Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). Dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira”. (Az-Zumar 39: ayat 10)
Sabarlah kerana Allah itu sentiasa bersama orang yang sabar. Untuk semua bakal ahli syurga, berhentilah merajuk dan semoga menemukan pelangi!


Penulis: Wan Hanim Binti Baharudin (Anem Arnamee)

TAZKIRAH : PERSEDIAAN KE KAMPUNG ABADI





"Tuhan yang menjadikan mati dan hidup supaya menguji manusia siapa di kalangan mereka itu yang baik amalannya." (Surah Al-Mulk: 2)
Di sini ada dua perkara yang akan dihuraikan: Tuhan jadikan mati dan hidup. Tuhan jadikan manusia di dunia untuk diuji, siapakah yang baik amalannya. Kalaulah kita yang sebut ayat ini, bukan Tuhan yang menyebutnya tentu kita berfikir secara lojik akal, kita akan sebut hidup dahulu baru mati. Memang kenyataannya kita hidup dahulu baru mati. Tapi Tuhan sebut mati dahulu baru sebut hidup. Tuhan tidak sebarangan menyebutnya, walau pun satu huruf ada maksud dan hikmah, ada nilai yang besar di sisi Tuhan.
Secara lojik akal tentu kita berfikir, tidak kisahlah yang mana dahulu, hidup atau mati. Menurut lojik akal, kita tidak kira yang mana dahulu tapi Tuhan tidak begitu. Satu huruf pun yang Tuhan sebut ada maksud, tidak secara suka-suka. Mengapakah Tuhan menyebut mati dahulu dan tidak memilih hidup dahulu baru mati. Ini menunjukkan Tuhan hendak tarik perhatian manusia supaya kita memandang besar perkara mati, lebih daripada soal hidup.
Mengapa?
Sebab hidup di dunia hanya sementara. Hidup di Akhirat selama-lamanya kekal abadi. Hidup di dunia, sudahlah tidak lama, masa yang ada pun hanya sekejap sangat. Cuba kita analisa tempoh hidup kita di dunia. Kita tidak usah fikirlah masa dalam kandungan, bayi, kanak-kanak dan sebelum baligh, itu tidak ada erti apa-apa. Kehidupan seorang manusia itu sejak lahir sahaja hingga menjelang baligh, tidak ada erti apa-apa. Sebab masa itu manusia tidak ada kebebasan, hidupnya betul-betul bergantung pada ibu dan ayahnya. Sebahagian masa kita sedar, sebahagiannya tidak. Sejak waktu bayi sampai usia lima tahun kita tidak sedar. Dari lima tahun hingga baligh baru sedar, itupun tidak indah, keadaannya terkongkong oleh ibu dan ayah.
Masa yang kita hendak ambil kira ialah sejak mula baligh, secara puratanya umur 12 tahun. Kita akan kira dari umur kita 12 tahun. Paling lama berapa tahun manusia hidup? Katalah hidupnya 100 tahun. Jadi hidup prime time kita kira 100 kurang 12 tahun, iaitu 88 tahun. Tapi katalah dari umur 80 hingga 100 tahun sudah nyanyuk, jadi 20 tahun itu sudah tidak di kira. Kita tolak lagi 88 dengan 20, jadi tinggal 68 tahun sahaja. Hidup selama 68 tahun itu pun jarang dapat, mungkin dalam 1000 orang, seorang sahaja.
Tapi pada umumnya, panjang masa manusia dapat hidup adalah sekitar 40 hingga 50 tahun sahaja masa primanya, setelah itu mati. Jadi kita hendak huraikan masa yang 50 tahun. Di sini Tuhan hendak mengambil perhatian kita supaya besarkan Akhirat. Walaupun kita hidup istimewa, sejak lahir sahaja sudah berada dalam kekayaan, 50 tahun hidup dalam kekayaan. Nampak hebatlah, rumah besar, makan besar, pangkat besar dan di besar-besarkan orang sampai ke mati. Kalau dalam masa 50 tahun ini, kita tidak ikut disiplin Tuhan, dalam masa itu diuji oleh Tuhan 50 tahun hidup istimewa, lepas itu kena hidup dalam Neraka selama-lamanya.
Oleh itu kalaulah orang tahu hakikat ini, maka kerana Tuhan, susah di dunia pun tidak mengapa. Kesusahan 50 tahun di dunia tidak sama dengan susah di akhirat. Di dunia ujian paling susah mungkin kena langgar kereta dan mati, jatuh ke laut, mati lemas, sakit kuat lalu mati. Tapi tidaklah tersiksa sangat berbanding dengan kesusahan di Akhirat nanti. Sebab itulah tidak pelik mengapa Tuhan sebut tentang Akhirat dahulu baru dunia.
Cuba kita lihat realiti yang berlaku hari ini, bila disebut antara dunia dan Akhirat, manusia lebih cenderung untuk memikirkan tentang yang dekat iaitu dunia berbanding Akhirat yang jauh. Lebih mengambil berat tentang dunia berbanding Akhirat. Ertinya kalau nisbah dunia dan Akhirat kita fikir yang dekat iaitu dunia.

TAZKIRAH : SELAGI PINTU TAUBAT MASIH TERBUKA




“Alif, sudah solat Zohor?”
Aku hanya mendengus kasar. Jam di telefon pintar dikerlingku sekilas.
“Sudah mak! Alif pergi dulu ya. Assalamualaikum…”
Dengan tergesa, aku terus meninggalkan rumah. Bagiku, temu janjiku dengan Nadhirah lebih penting kerana risauku bukan kepalang lagi apabila dia sudah sampai di tempat temujanji. Alaa… sampai sana nanti aku solatlah.
***
Telefon pintar yang nyaring berbunyi minta dijawab menyentakku daripada lamunan.
Alaaa! Lama betul traffic light ni…
Aku mencapai telefon pintar dari tempat duduk penumpang hadapan tanpa menoleh ke arahnya. Entah macam mana, telefon pintar yang berada dicapaianku terjatuh ke bawah.
Bala! Bala! Dengusku kasar…
Ada lagi 65 saat sebelum lampu hijau.
Aku tunduk sambil meraba ke bawah tempat duduk penumpang bagi mencari telefonku yang terjatuh. Apabila telefon tersebut sudah berada di dalam genggaman, aku mengemaskan dudukku semula.
Aku menoleh ke sisi, dan…
Bummmm!!!
Aku cuba mencelikkan mataku berulang kali. Pandangan yang kabur kian jelas beberapa tika kemudian. Melihat orang ramai sedang mengelilingi keretaku, jiwaku semakin resah! Kata-kata yang hendak dikeluarkan bagi meminta tolong hanya mampu dijeritkan di dalam hati.
Sakitnya bukan kepalang!
Serpihan kaca amat terasa berada di dalam bebola mata serta lengan yang tidak terdaya ini.
Namun, hanya aku yang mampu merasainya.
Beberapa tika kemudian, pandanganku menjadi kabur semula dan akhirnya aku kembali ke alam yang penuh dengan kegelapan…
***
“Mak?!”
Bayangan mak terlayar di minda sejenak, wajah tua yang telah melahirkan serta membesarkanku daripada sekecil janin kepada sebesar manusia.
“Alif, tolong mak beli barang dapur sekejap.”
Aku menoleh ke belakang saat mendengar suara mak. Suasana serta keadaan berubah dalam sekelip mata. Aku sudah berada di rumah?
“Alif tengah belajar ni. Mak sendiri cakap Alif kena belajar rajin-rajin kan?”
Aku menapak untuk mengintai punca suara tersebut. Sememangnya ianya merupakan suaraku. Amat jelas dan lantang sekali kedengarannya.
Sebelum itu, sempat aku mengerling ke arah mak. Terpamer riak kekesalan dalam dirinya. Mungkin mak rasa bersalah kerana menyuruhku saat aku sedang sibuk mengulangkaji pelajaran barangkali.
“Tak apalah. Mak pergi kedai sekejap. Tolong jaga rumah ya!”
Aku berdiri betul-betul di luar bilikku. Kedengaran suaraku menjawab, “Ok!” dari dalamnya. Pada kebiasaannya, aku memang akan mengunci bilik. Tiada siapa mengetahui apa yang sedang aku lakukan di dalamnya. Ya, ia adalah kawasan persendirian. Aku bebas melakukan apa sahaja!
Aku cuba membuka tombol pintu namun tanganku seperti menembus tombol tersebut.
 “Ya Allah! Adakah kau ingin menunjukkan kisah silamku? Adakah ajalku sudah tiba?”
Jantungku kian berdegup kencang. Aku tidak mahu mati! Jeritku di dalam hati. Namun, kakiku melangkah juga masuk ke dalam bilik tersebut.
Saat aku berada di dalam bilik, lantas aku jatuh terjelopok ke lantai. Melihat diriku melakukan onani sambil menonton filem lucah amat meruntunkan hati aku. Adakah ini yang dinamakan mengulangkaji pelajaran?
Hatiku mula terasa sebak. Rasa kesal mula menyelubungi diri. Ya Allah… air mata mula mengalir tanpa diminta. Pandangan mula kabur dan akhirnya menjadi sebuah kegelapan!
***
“Alif…”
Aku mendongakkan kepalaku saat namaku dipanggil. Ayah…
“Ayah, Alif nak 125ZR boleh tak? Alif tengok semua kawan Alif pakai motor tu.”
Aku melihat ayah yang sedang membaca surat khabar di ruang tamu mengalihkan pandangannya ke arah ‘aku’ yang sedang santai menonton televisyen sambil mengenakan boxer serta berbaju T tanpa lengan.
“Nantilah lepas SPM ayah belikan,” jawab ayah tenang.
Aku cuba membaca riak wajah ayah. Namun, ekspresi ayah amat sukar untuk ditafsir.
“Ayah ni… dari dulu asyik nanti-nanti! Dulu kata lepas Alif habis PMR. Sekarang tunggu SPM pula. Tak style la Alif naik Bonus tu. Kawan Alif semua naik 125!” Rengek ‘aku’ dengan hati yang marah.
“Ayah bukannya tak nak beli. Tapi, itulah… ayah tak cukup duit nak beli motor mahal macam itu.”
“Sudahlah! Dekat dalam bank tu Alif tengok ada banyak ja duit! Kalau tak nak beli, katalah tak nak beli! Jangan nak bagi banyak alasan!” Bentak ‘aku’ berang lalu berlalu pergi ke bilik. Dalam perjalanan, kaki ‘aku’ menapak dengan penuh sebal.
Aku hanya mampu memejamkan mata saat mendengar dentuman kuat pintu yang ditutup dari bilikku.
‘Ya Allah… apa yang telah aku lakukan?’ Hatiku merintih sayu.
Aku melihat riak wajah ayah sekali lagi. Lelaki tua itu hanya mampu mengeluh lalu mengurut dahinya dengan jari.
Maafkan Alif, ayah… rintihku sayu. Aku cuba mendekatkan diriku dengan ayah. Namun, imej ayah hilang saat aku mengesat air mataku.
***
Aku mengelipkan mataku sekali lagi dan suasana berubah untuk kesekian kalinya. Kini, aku berada di tengah orang ramai. Aku memerhati sekeliling. Ada yang sedang sibuk membaca Yasin, ada yang sedang berbual di halaman rumah. Ya Allah~Takkanlah?
Aku tunduk lalu air mataku merembes kembali.
Melihat jasadku ditutupi dengan kain putih amat meruntunkan hatiku. Dengan perlahan, aku jatuh terjelopok ke atas lantai. ‘Aku belum sedia…’ rintihku lagi.
Aku belum sempat meminta maaf kepada mak dan ayah!
Seketika kemudian, kedengaran suara bayi yang tidak tahu puncanya menerobos gegendang telingaku. Bayi? Air mata yang masih belum mahu berhenti, mengalir dengan lebih deras beserta esakan yang amat kuat. Esakan kesesalan seorang yang digelar hamba Allah.
‘Maafkan ayah’, hatiku sebak.
Terlayar kembali dalam fikirannya di mana dia telah meniduri Nadhirah pada suatu ketika dahulu. Saat mengetahui Nadhirah mengandungkan anaknya, hatinya menjadi walang.
Akhirnya,dia mengambil keputusan untuk menyuruh Nadhirah menggugurkan bayi tersebut. Nadhirah yang kaget hanya menturuti. Baginya, aibnya juga perlu dijaga walaupun terpaksa menggugurkan bayi tersebut. Begitu juga dengan pendirian Alif. Akhirnya, apabila nafsu menguasai diri, ianya lebih kuat daripada godaan syaitan!
Maafkan aku…
Penulis: Mohammad Izwan bin Mansor

"Wahai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
(Surah al-Zumar: 53)

TAZKIRAH : DIBURU MALAIKAT MAUT





Masa tidak pernah berhenti. Kehidupan akan terus berjalan. Seiring dengan perjalanan masa, begitu jugalah usia kita berkurang. Mustahil akan bertambah. Kelak nyawa kita ditarik keluar daripada jasad.
Apakah rasanya itu kematian?
Di mana tempat dan bagaimana keadaan itu?
Soalan yang selamanya tidak akan bertemu dengan jawapan.
Jika kita tahu akan rahsia masa kematian kita, apakah kelakuan kita? Sebentar lagi kita akan meninggalkan medan kehidupan di dunia. Meninggalkan orang-orang yang kita sayang. Apakah yang mahu kita sampaikan kepada dunia?
Kehidupan seterusnya tidak diketahui di mana destinasinya. Tergantung juga amalan kehidupan di dunia.
Apakah amalan itu? Ia adalah kegiatan baik dan buruk yang telah kita lakukan. Adakah hati kita senang jika apa yang kita tinggalkan nanti adalah perkara-perkara yang tidak membawa apa-apa manfaat kepada alam keseluruhannya.
Sama sahaja sama ada kita wujud atau tidak di dunia. Ia sedikitpun tidak memberi apa-apa makna. Begitukah asal mula tujuan kita tegak berdiri untuk berjalan di dunia?
Betapa takutnya mengharungi kematian. Pengakhiran segala-galanya di tahap ini. Naik ke tahap yang lain, iaitu kehidupan di alam kuburan. Sungguh menggerunkan.
Apa amalan yang telah diperbuat selama ini? Layakkah untuk beroleh balasan yang baik? Tanya diri sendiri. Hati tahu siapa kita sebenarnya.
Baik dan jahat itu terang dan nyata. Yang menyebabkan hati rasa bimbang dan tidak tenang itulah dosa. Maka jauhilah ia.
Syaitan itu adalah musuh yang nyata, maka lawanlah ia dengan sepenuh kekuatan. Kelak syaitan berlepas diri di akhirat atas usahanya menyeret kita ke neraka.
Kerana sudah jelas sekali memang syaitan itu musuh kita. Tubuh sendiri sahaja yang bertanggungjawab terhadap segala perbuatan baik dan buruk.
Orang yang melampaui batas adalah orang yang tidak tahu akan peraturan. Merosakkan keharmonian dan mencetuskan kerosakan di muka bumi.
Kematian pasti akan memburu mereka. Ketika saat hijab telah terbuka. Tahulah ia, langit itu tinggi atau rendah. Sudah tidak ada jalan pulang. Hanya ada waktu untuk membalas.
Perjalanan hidup ini penuh dengan harapan dan ketakutan.
Harapan menjadikan kita mahu terus melangkah dan ketakutan pula, adakah akan membuat kita terhenti?
Fikirkan, jika kita berhenti, lalu apa yang kita dapatkan?
Bukankah lebih baik teruskan perjalanan bersama-sama dengan melakukan amal kebaikan. Jangan mati sebelum masa mati kerana terburu oleh bayang-bayang kematian yang tidak tahu bila.
Hanya perlu hidup dengan bersungguh umpama kita akan mati. Berbeza sekali dua keadaan tersebut. Yang satu optimis, dan satu lagi pesimis.
Kiri kanan malaikat sentiasa siap siaga untuk menulis kegiatan hidup kita. Satu lagi malaikat yang sering mengintai.
Menunggu detik jam yang berdetak menghampiri masa untuk menamatkan kehidupan. Kita sering diburu.
Di mana saja kedudukan tempat, pasti kita bertemu dengan pemburu itu pada masa yang telah ditentukan. Pemburu yang tetap setia memikul tugas.
Sudah jelas bahawa hidup di dunia sementara. Cuma kita sahaja yang sering mencintai dunia dan takut akan kematian.
Apakah yang mahu diharapkan akan kesenangan di dunia ini yang tidak setanding dengan kehidupan di akhirat. Menangguh nikmat yang sekarang kerana mahukan kenikmatan yang lebih indah dan kekal berpanjangan.
Begitulah resmi dalam meraih kejayaan. Kejayaan memerlukan pengorbanan terlebih dahulu. Itulah yang dinamakan keadilan dan merupakan sunnah dalam kehidupan.
Di belakangmu sering ada yang memburumu. Tapi jangan padam lilin kemahuanmu untuk berjaya. Kerana jika kau padam, ke hadapan dan ke belakang pun tidak akan kau dapat tujukan. Kerana kau telah hentikan langkahmu.
Satu saja, teruskan ke hadapan dan ingat di belakang sentiasa akan ada yang memburumu. Maka kau lakukanlah dengan sepenuh hatimu setiap pekerjaan yang kau hadapkan.
Kerana jika kau tidak melakukannya yang terbaik, tidak ada siapa yang dapat menggantikan tempatmu lagi. Perananmu telah habis dan orang lain hanya akan melihat bekas pekerjaanmu.
Lakukanlah yang terbaik di mana saja kamu berada. Ada yang di atas yang sentiasa memerhatikanmu dan yang akan menilaimu kelak.

Penulis: Siti Rahimah Binti Mohammad Ikhsan

TAZKIRAH : ZAMAN INI ZAMAN PERSEPSI





‘KEYBOARD WARRIOR‘. Satu terma istilah yang sudah sebati dalam masyarakat pada hari ini. Ia melibatkan insan-insan yang hanya mampu sembang kencang di belakang tabir walhal realitinya dia sendiri sedang bergelut dengan masalah sendiri.
Acapkali kuperhatikan satu persatu komentar warga ‘muka buku’ (Facebook) terutamanya setiap kali wujud sesuatu isu. Ada yang positif bahkan ada yang tak kurang hebatnya berunsur negatif.
Banyak sekali isu yang seringkali meruntun jiwa. Sayu melihat keadaan anak-anak muda yang semakin jauh daripada agama.
Hakikatnya saya bukan sesiapa, hanya seorang manusia yang suka memerhati dan semestinya turut diperhatikan.
Dari dulu sehingga kini saya percaya akan satu perkara, segala apa yang berlaku bilamana berkaitan dengan tingkah laku manusia maka ianya adalah berpunca dari hati.
Sebagaimana sabda Nabi yang bermaksud :
Ketahuilah, sesungguhnya dalam tubuh manusia ada segumpal daging, jika segumpal daging itu baik, maka akan baik seluruh tubuh manusia, dan jika segumpal daging itu buruk, maka akan buruk seluruh tubuh manusia, ketahuilah bahwa segumpal daging itu adalah hati manusia.” (HR. Bukhari dan Muslim)
Setiap kali saya berbicara tentang hati, teringat akan input yang dikarang oleh Ustaz Hafez Sabri di dalam bukunya yang berjudul ‘Tarbiyah Ruhiyah’. Katanya, hati itu umpama rumah yang punya 6 pintu. Pintu tersebut adalah mata, mulut, telinga, hidung, tangan serta kaki.
Secara logiknya, mana mungkin orang yang berhati-hati akan membiarkan saja pintu rumahnya terbuka tanpa kawalan. Begitu juga hati, kesemua 6 pintu tadi perlu punya kawalan. Bukan sesuka hati saja kamu biarkan ia berfungsi mengikut kehendak sendiri.
Permainan syaitan itu licik, boleh jadi hari ini hatimu terjaga merendah diri, kelak mungkin saja sikap merendah diri itu bertukar menjadi satu kebanggaan yang ditayang-tayang sedang hakikatnya kita sedang mendustai diri sendiri.
Meskipun kita punya peluang pendidikan untuk segenap umur, dari mula bertutur sehingga habis kudrat untuk bergerak ke sana ke mari, namun berapa ramai dalam kalangan ahli masyarakat yang cemerlang tahap pendidikan namun akhlaknya entah kemana.
Berbalik kepada apa yang disampaikan di sini, realitinya masyarakat lebih suka menghukum dan mengkritik apa yang bukan dalam bidangnya. Sedangkan setiap ilmu itu memerlukan ahlinya untuk tujuan memperbaiki. Firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 42:
“Maka bertanyalah kepada orang-orang yang berpengetahuan (ulama’) jika kamu tidak mengetahuinya."
Sebagaimana secara logiknya jarang sekali kita jumpa doktor yang membaiki kereta, atau arkitek yang merawat gigi ataupun guru yang menukang perabot.
Setiap bidang ada orang yang pakar di dalamnya, jika yang tidak berkaitan cuba masuk campur, ia boleh dikatakan umpama tikus membaiki labu.
Hari ini realitinya masyarakat lebih suka untuk berpegang kepada sangkaannya sendiri tanpa menitik beratkan prinsip sebenar yang dianjurkan Islam. Firman Allah dalam surah Hujurat ayat 12 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah daripada banyak berprasangka; Sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang mengunjing sebahagian yang lain. "
Adakah di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”
Berbalik kepada diri sendiri, apa yang kita bina untuk peribadi kita. Apa yang kita salur masuk ke dalam hati kita.
Bila berhadapan dengan masyarakat apatah lagi berkaitan dengan apa yang bukan urusan kita, seharusnya kita tidak terlalu lantang seolah-olah kita tidak pernah melakukan dosa.
Kadang tanpa kita sedari, kita merupakan asbab jauhnya hati orang-orang yang masih belum sebati nilai-nilai Islam dalam jiwanya.
Saat kita menghukum orang lain, kita bukan sahaja sedang menguji dan mengubah hati serta akhlaknya, bahkan juga hati dan akhlak kita. Umpama membaling batu ke arah binatang liar, binatang itu sakit, tangan kita juga turut terasa kesannya.
Kalau dahulu, orang yang menayangkan kesenangan atau melakukan khilaf itu hanya jadi bualan di bibir saja, kutukannya hanya berlegar sekitar kampung tanpa melibatkan masyarakat dari kampung lain.
Tapi hari ini, sebarang isu yang pada pandangan masyarakat itu salah hatta pada perkara yang tidak langsung terlintas di hati seseorang, dicanang-canang dalam sekelip mata ke seluruh pelusuk negara.
Bukan sekadar itu sahaja, umpama telah bersepakat pula bala tentera Keyboard Warrior ini datang menyerang tanpa usul periksa. Menilai isu daripada tajuk serta komentar isu bukan pada kronologi isu itu sudah menjadi norma kebanyakan manusia barangkali.
Mengapa tajuk ini diberi nama ‘Zaman Ini Zaman Persepsi’?
Kerana hakikatnya begitu, orang bertudung dituduh hipokrit, orang berniaga dikatakan berlagak, orang menasihati dianggap riak. Ini yang paling ketara, budaya melemparkan persepsi sesedap hati tanpa mengambil kira soal salah atau benar.
Didik hati untuk tidak terlalu cepat menghukum, cuba untuk bina persepsi yang baik hatta pada sang gelandangan.
Jalan hidup kita tak serupa, mungkin kita lahir saja sudah kenal alif ba ta sedangkan ada antara saudara-saudara kita usia senja baru mengenal buku iqro’.
Teringat pada satu kata-kata daripada orang hebat di tempat pengajian saya,
“The heart of education is education of the heart.”
Kata-kata ini sangat cantik pada pandangan saya, apa guna berbangga punya sijil satu kotak andai hati itu merasakan diri mulia dan tidak berdosa. Walau naik pangkat bertingkat-tingkat, kelak di penghujung usia Allah jualah tempat bergantung harap.
Tulisan: Syarifah Nurul Baiti Binti Sayed Mustapha


TAZKIRAH : KAYA SEJATI



Satu pagi, selepas usai solat Subuh berjemaah, saya duduk berbual dengan seorang sahabat lama yang kebetulan singgah di masjid kariah saya untuk solat Zuhur. Dari serambi masjid tempat kami berbual kelihatan kereta lamanya yang diletak di tempat letak kereta berhampiran jalan raya di hadapan masjid. Dia masih dengan kereta lamanya. Kereta jenis Proton wira lama berwarna coklat.

 “Kau layak untuk menikmati hidup yang lebih baik,” kata saya sambil memegang bahunya. Dia adalah salah seorang sahabat yang sangat saya sanjung. Akhlak dan tutur katanya sangat menyentuh hati. Ibadahnya kemas. Sifat ikram dan hormatnya sangat ketara sejak  usia mudanya.
 “Aku sedang menikmati kehidupan ini,” balasnya pendek. Senyum menguntum di bibirnya. Ertinya, dia merasakan hidup yang dijalani sekarang adalah yang terbaik.
“Keretamu tidak bertukar sejak lama. Rumahmu masih begitu-begitu jua. Cara kau berpakaian, jam tangan dan telefon bimbitmu… aduh, mengapa masih yang itu-itu juga?” balas saya terus terang.
“Aku tidak punya wang yang banyak.”
 “Mustahil. Pendapatan hasil perniagaan dan penulisan buku-bukumu aku kira sangat lumayan. Lebih daripada cukup.”
 “Semuanya telah habis kubelanjakan!” katanya terus terang.
 Kata-katanya itu mengingatkan saya kepada luahan rasa oleh anak sulung lelakinya satu ketika dulu.
“Pakcik, duit ayah habis dibelanjakannya untuk sedekah, derma dan lain-lain biaya kerja-kerja kebajikan. Sebenarnya ayah boleh hidup sebagai seorang jutawan, tetapi kerana sikapnya yang terlalu pemurah… menyebabkan cara hidup ayah di bawah kemampuannya yang sebenar,” kata anak sulung sahabat saya itu.
“Bagaimana kamu melihat keadaan ayah?”
 “ Maksud pakcik?”
“Apakah dia tertekan dengan cara hidup yang dipilihnya itu?”
“Oh, tidak. Sekali-kali tidak…malah saya lihat ayah sangat ceria dengan gaya hidup yang dijalani sekarang.”
Saya senyum. Sahabat saya memang mengamalkan apa yang ditulis dan dicakapkannya. Saya teringat kembali apa yang pernah dikatakannya,
“Memberi lebih gembira daripada menerima. Orang yang memberi bantuan akan lebih ceria berbanding orang yang menerima bantuan… tapi dengan syarat pemberian itu dibuat dengan rasa kasih-sayang.”
 Ya, itulah kuncinya. Sahabat saya memang seorang penyayang. Justeru, dengan sifatnya itu dia mampu gembira ketika memberi bantuan dan menghulurkan pertolongan kepada orang lain. 
“Tidak teringin berkereta besar dan tinggal dalam villa yang agam?” tanyaku hanya untuk mendengar penerangan lebih lanjut tentang prinsip dan pegangan hidupnya.
“Terlalu banyak ‘ingin’, akan menyebabkan kita miskin,” jawabnya pendek.
“Tapi ramai yang menganggap miskin itu bila kita tidak memiliki,” balas saya.
 “Tidak… bukan itu yang menyebabkan kita miskin. Kita miskin kerana terlalu banyak keinginan… sudah punya rumah, mahu rumah yang besar. Sudah punya rumah yang besar, hendak rumah yang lebih besar. Sudah punya sebuah rumah yang lebih besar, hendakkan sebuah lagi.  Begitulah, tidak pernah puas. Orang yang tidak pernah puas itulah sebenarnya orang yang miskin.”
 Ya, sungguh. Kata-katanya mengingatkan saya kepada sebuah hadis riwayat Bukhari, “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Nabi SAW telah  bersabda, seandainya manusia diberi lembah penuh dengan emas, maka ia masih menginginkan lembah yang kedua semisal itu. Jika diberi lembah kedua, ia pun masih menginginkan lembah ketiga. Perut manusia tidaklah akan penuh melainkan dengan tanah. Allah tentu menerima taubat bagi siapa saja yang bertaubat.”
 Perlahan-lahan saya mengangguk-anggukkan kepala. Wajah tenangnya terus saya tatap. Masih saya ingat lagi satu kuliahnya tentang rezeki. Dalam kuliah itu  dia berkata,
“Amalkan prinsip 3 M ketika berdepan dengan rezeki, insya-Allah rezeki kita akan halal, baik, dan berkat. M yang pertama, mencari. M yang kedua, memiliki. Dan M yang ketiga, memberi. Apabila kita mencari, insya-Allah kita akan memiliki rezeki, kemudian kita memberinya kepada yang berhak – ahli keluarga sendiri, ibu-bapa dan kepada orang lain yang memerlukan.”
“Mungkin kau terlupa dengan satu M lagi… menyimpan. Kau tak menyimpan?” pintas saya.
 “Saya menyimpan juga. Insya-Allah. Tapi dalam bentuk zakat, sedekah dan wakaf. Saya menyimpan untuk hidup selepas mati. Mudah-mudahan simpanan itu diterima Allah,” katanya perlahan.
Saya terkesima. Mungkin kalau saya ini bukan sahabat rapatnya, sikapnya yang suka membantu orang lain itu akan terus dirahsiakan. Dia tidak gemar bercakap tentang dirinya (apalagi tentang kebaikannya) kecuali apabila sangat-sangat diminta… itu pun dengan tujuan memberi galakan dan didikan.
Tentang konsep ‘simpanan’ untuk Hari Akhirat ini, saya sendiri pernah mendengar satu kisah yang berlaku kepada Siti Aisyah r.a. Kisah itu sangat menyentuh. Satu ketika Aisyah r.a. berkata bahawa dahulu sahabat menyembelih kambing, maka Nabi SAW bertanya, “Apa yang masih tersisa dari kambing itu?” Aisyah r.a. berkata, “Tidak tersisa darinya kecuali tulang bahunya.” Nabi SAW bersabda, “Semuanya tersisa, kecuali tulang bahunya.” (Riwayat at-Tirmidzi)
 Maksud Rasulullah SAW ialah apa yang telah disedekahkan itulah yang kekal di sisi Allah SWT, manakala yang belum disedekahkan maka itu tidak kekal di sisi-Nya.
Melihat saya diam, dia berkata, “Kalau orang kaya mengurangkan sedikit sahaja keinginannya, maka akan ramai orang miskin yang akan dapat dibantu. Bayangkan, perbelanjaan makan sekali sahaja orang kaya bersama isterinya ada kalanya sama, bahkan melebihi perbelanjaan yang diperlukan oleh si miskin untuk makan bersama seluruh ahli keluarga dalam tempoh sebulan. Itu belum lagi hobi bertukar-tukar kereta, melancong berpuluh-puluh kali ke luar negara, jam tangan, rantai leher, gelang dan sebagainya… ”
 Saya mengakui hakikat itu. Pernah saya melihat seutas jam tangan yang harganya ratusan ribu. Masya-Allah, dengan wang sebanyak itu, boleh memberi sebuah rumah kos sederhana untuk perlindungan sebuah keluarga. Itu belum lagi yang punya kereta emas, pinggan mangkuk perak, puluhan malah ratusan kereta dan beberapa buah jet peribadi.
“Apa salahnya,” kata orang kaya tersebut, “Itu kan duit aku? Hasil titik peluh aku,” apabila ditanya tentang kemewahan hidup mereka. Ketika saya bertanya kepada sahabat saya tentang hal itu, dia berkata, “Itulah salahnya. Harta kita bukan milik kita. Ia milik Allah. Kita hanya peminjam dan pemegang amanah. Harta yang haram akan diazab, yang halal akan dihisab…”
 “Di Padang Mahsyar nanti setiap yang punya harta akan ditanya bagaimana harta itu dimiliki dan bagaimana harta itu dibelanjakan? Bolehkah nanti di hadapan Allah kita berkata, peduli apa, harta aku, aku punya pasallah,” sambungnya.
 Mendengar penjelasannya, saya senyum. Senyum pahit sebenarnya.
“Apakah salah memiliki harta yang halal?” aju saya untuk mendapat jawapan balas.
 “Tidak salah… tapi hisabnya panjang. “
“Ya cuma itu.. hanya hisabnya panjang, tapi masih tidak salah kan?”
“Jangan  cakap begitu,” tegurnya, lalu berkata, “Hisab yang panjang juga satu penderitaan. Ingat itu semua berlaku di Padang Mahsyar. Terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di jalan raya dunia pun sudah satu penderitaan, apatah lagi di Padang Mahsyar. “
“Bayangkan pula bagaimana jika kita terpaksa mengambil masa yang lama apabila diperiksa oleh kastam apabila pulang dari luar negara kerana membeli terlalu banyak barang-barang. Walaupun halal… tapi letihlah kita bila beg-beg kita digeledah habis-habisan oleh kastam. Walaupun tidak salah, tetapi masa yang diambil tentulah lama. Itu baru di dunia, bagaimanakah pula kalau di Padang Mahsyar? Kesesakan, kepanasan, ahhh.. tak dapat dibayangkan betapa sukar dan seksanya!”
 Bijak dia membuat tamsilan.
 “Mengapa orang kaya boleh terlibat dengan rasuah?” kata saya untuk terus mengorek pendapatnya.
“Kerana mereka miskin…”
“Miskin?”
“Ya, miskin jiwa.”
Miskin jiwa? Mungkin ini lawan kepada kaya jiwa yang dimaksudkan oleh hadis Rasulullah SAW, “Orang kaya itu bukan yg banyak hartanya tapi orang kaya adalah orang yang kaya hati.”
 “Orang kaya sekalipun adalah miskin, jika banyak keinginannya. Orang miskin sekalipun adalah kaya jika sedikit keinginannya,” tambahnya.
“Benar. Macam minum air laut, makin diminum makin haus. Begitulah orang kaya yang miskin jiwa ini…” sampuk saya untuk memeriahkan perbualan.   
“Mereka hanya memiliki rezeki tetapi tidak menikmatinya!”
“Maksud kau?”
 Lalu dia bercerita dengan perasuah yang tertangkap. Kebanyakan mereka telah berusia 50-an. Pada usia itu, kebanyakannya sudah ada penyakit-penyakit tertentu. Mungkin kencing manis, darah tinggi, ulcer, lemah jantung dan lain-lain. Ertinya, makan perlu dikawal. Makanan yang sedap-sedap seperti daging, udang, ketam dan lain-lain mesti dikurangkan. Dengan duit mereka boleh membeli makanan yang lazat, tetapi duit tidak boleh membeli kemampuan menikmati makanan itu!
Dengan duit mereka membeli tanah yang luas, tetapi sebidang pun tidak boleh dinamakan atas nama mereka. Takut dikesan oleh SPRM. Begitu juga dengan wang tunai yang berjuta-juta ringgit itu, terpaksa di sorokan dalam dinding dan disembunyikan di dalam rumah. Tidak boleh disimpan di bank, takut dikesan oleh pihak berwajib.
“Pemakan rasuah ini tertipu oleh dunia yang dicari dan dimiliki. Memiliki tetapi tidak dapat menikmati.  Menyimpan tetapi tidak dapat menggunakan. Rakus mencuri wang orang lain tetapi tidak dapat membelanjakannya. Kalau dibelanjakan pun secara senyap-senyap apalagi bila sudah di luar batas kebiasaan. Punya banyak kereta mewah, tetapi tidak semua dapat digunakan secara bebas.  Tidur dibayangi ketakutan ditangkap. Pergerakan sentiasa terasa diintip… apakah kehidupan semacam ini yang kita dambakan?” katanya panjang lebar.
“Itu bukan kehidupan yang kita cari.”
“Ya. Itu semua mimpi negeri. Di dunia sudah terseksa, di akhirat neraka menanti. Nauzubillah.”
“Aku tidak mahu diperhamba oleh harta. Harta adalah ‘Tuhan’ yang kejam! Mudah-mudahan. Amin. ”
“Insya-Allah,” saya mengiakan.
Saya renung keretanya. Mungkin itu satu-satunya kereta yang dimilikinya. Ya, memang itu bukan kereta yang mahal. Namun, saya teringat kata-kata yang pernah saya tulis,
“Yang paling bernilai bukan kereta, tetapi manusia yang memandunya… dengan syarat di dalam hati pemandu itu mempunyai kekayaan jiwa. Ya, kaya jiwa kaya sejati!” 


Tulisan: Ustaz Pahrol Mohd Juoi

TAZKIRAH : TAKUT SATU PERSEDIAAN



Rasa takut merupakan sifat kejiwaan yang bersemayam di dalam hati manusia. Hakikatnya perasaan takut ialah anugerah buat manusia untuk lebih dekat kepada pencipta yakni Allah SWT.
Dalam surah Al-Ahzab ayat 39 Allah berfirman:
“Adapun orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah, mereka takut kepada-Nya dan mereka tiada merasa takut kepada seorang pun selain Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pembuat Penghitungan”.
Kalau kita takut hujan, kita akan sediakan payung. Apabila kita takut lemas dalam air, kita akan belajar berenang atau memakai jaket keselamatan.
Dan apabila kita takut gagal dalam peperiksaan, kita akan belajar sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan tersebut.
Berdasarkan situasi yang saya kemukakan tersebut jelas menunjukkan bahawa perasaan takut ini ialah suatu persediaan buat manusia.
Takut Tanda Ketakwaan
Rasa takut juga merupakan tanda ketakwaan kita kepada Allah SWT. Saidina Ali berkata bahawa takwa ini ada 4 iaitu:
1.Rasa takut kepada Allah
2.Beramal secara penuh dengan Kitabulllah
3.Bersyukur dengan nikmat yang sedikit
4.Bersedia untuk menghadap Allah pada bila-bila masa
Rasa takut kepada Allah ini mendorong kita untuk meningkatkan amal kebaikan dan meninggalkan semua yang dilarang-Nya.
Kehebatan rasa takut kepada Allah ini membenihkan takwa dalam diri manusia.
Takut juga berperanan untuk memotivasikan hidup kita untuk menjadi lebih baik. Perasaan takut menjadikan manusia lebih bersedia dalam menghadapi sesuatu perkara.
“Dan sentiasalah mengingati perkara yang boleh memutuskan kelazatan dunia yakni mengingati mati.”
Apabila kita mengingati mati pasti akan wujud ketakutan dan kebimbangan dalam diri kita.
Ketakutan dan kebimbangan inilah yang akan menjadi motivasi serta dorongan untuk kita bersedia dalam kehidupan.
Takut juga sebenarnya merupakan proses dalam membina keberanian dalam hidup manusia. Sebagai seorang manusia, keberanian dalam menyatakan kebenaran akan lahir sekiranya kita berasa takut dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Kita takut dihumban ke neraka jahanam.
“Terdapat beberapa jenis ketakutan manusia seperti Fear Of Rejection, Fear Of Failure, Fear Of Poverty, Fear Of Criticism dan Fear Of Sickness.
Masih banyak lagi jenis ketakutan manusia yang lain.
Namun begitu, kita perlu mengawal perasaan takut ini agar tidak menjadi halangan dalam memajukan diri. Terdapat beberapa kategori takut iaitu:
1.Takut Berlebihan
2.Takut Sederhana
3.Takut Kurang
Jangan jadikan rasa takut itu sebagai alasan tapi lihat ketakutan itu sebagai suatu cabaran dan ujian dalam membuat persediaan.
Jangan kita jadi insan yang penakut tapi jadilah mereka yang takut kerana Allah.

Oleh:  Mazamirrul Bin Drahman