TAZKIRAH : SEBELUM JUMAAT KALI INI JAUH MENINGGALKAN KITA



Inline image 2
Mari sama-sama tambahkan selawat dalam harian. Moga Allah memberkati seluruh hidup kita.
Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

«مَن صلَّى عليَّ صلاةً واحدةً، صَلى اللهُ عليه عَشْرَ صَلَوَاتٍ، وحُطَّتْ عنه عَشْرُ خَطيئاتٍ، ورُفِعَتْ له عَشْرُ دَرَجَاتٍ»

Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).” [HR An-Nasa’i No. 1297, Ahmad, sahih.]
Hadis yang agung ini menunjukkan keutamaan berselawat kepada Nabi SAW dan anjuran memperbanyakkan selawat tersebut.
Sabda Nabi SAW:
(الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ)
Maksudnya: “Orang Bakhil ialah mereka yang apabila disebut nama-Ku mereka tidak berselawat”. [HR: Tirmizi. Sahih]

Banyak berselawat kepada Rasulullah SAW merupakan tanda cinta seorang muslim kepada Baginda SAW, kerana para ulama’ mengatakan: “Sesiapa yang mencintai sesuatu maka dia akan sering menyebutnya”.






TAZKIRAH : PELIHARA LIDAH, PERINDAH AKHLAK



Inline image 1

“Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkan (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).”
(Surah Qaaf ayat 18).

TAZKIRAH : MASJID & KANAK-KANAK


Menurut Syeikh Yusuf al-Qaradhawi  antara kelebihan menuju ke masjid adalah:
  • Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
    Maksudnya: “Orang-orang yang banyak berjalan ke masjid ketika gelap, mereka adalah orang-orang menceburkan diri dalam rahmat Allah”.
    [Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 771][al-Dhimyathi mengatakan sanad hadith ini cacat]

    Hadith ini bermaksud, sesiapa yang berjalan menuju masjid khususnya dalam kegelapan malam, mereka itulah orang-orang yang menceburkan diri dalam rahmat Allah SWT.
  • Diriwayatkan oleh Anas bin Malik, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
    Maksudnya: “Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berjalan dalam kegelapan menuju ke masjid dengan cahaya yang sempurna pada hari kiamat”. [Riwayat Abu Daud, no Hadith 474, al-Tirmizi, no Hadith 207 dan Ibn Majah, no. Hadith 773][al-Albani menghukum hadith ini sahih]

    Oleh yang demikian setiap langkah menuju ke masjid sama ada pada waktu pagi atau petang akan sentiasa mendapat pahala daripada Allah SWT.

  • Nabi SAW bersabda:
    Maksudnya: “Barangsiapa yang pergi di waktu pagi ke masjid atau di waktu petang, Allah menyediakan baginya suatu tempat setiap kali dia pergi di waktu pagi dan petang”.
    [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 662 dan Muslim, no. Hadith 285]

    Berdasarkan hadith-hadith yang telah disebutkan, ternyata begitu tinggi pahala bagi orang-orang yang sentiasa beribadat atau pun solat di masjid. Oleh yang demikian orang-orang yang sentiasa pergi ke masjid dan memakmurkan dengan solat, zikir, ataupun membaca al-Quran merupakan bukti-bukti keimanan.
    Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Abi Sa’id RA, bahawa Nabi SAW:
    Maksudnya: “Bila kamu sekalian melihat seseorang yang sentiasa pergi ke masjid maka persaksikanlah keimanan untuknya”.
    [Riwayat Ahmad, no. Hadith 11651 dan 11725, al-Tirmizi, no. Hadith 3093 dan Ibn Majah, no. Hadith 802][Imam al-Tirmizi mengatakan hukum hadith ini Hasan Gharib]

    Kelebihan Mengimarahkan Masjid

    Firman Allah SWT:                          
    Maksudnya: “Hanya orang yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah”.

    Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini berkata:
    Daripada Abu Sa'id Al-Khudri, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Apabila kamu melihat seorang lelaki biasa pergi ke masjid, maka saksikanlah oleh kamu bahawa dia adalah seorang yang beriman”. Allah SWT telah berfirman, "Sesungguhnya orang-orang yang memakmurkan masjid-masjid Allah hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian”.
    Memakmurkan masjid tidak hanya dengan membangunkan masjid secara fizikal semata-mata. Oleh yang demikian, sesiapa pun yang pergi ke masjid untuk solat, bertasbih, membaca, duduk di dalam halaqah ilmu, menunggu untuk solat atau membaca al-Quran termasuk di dalam orang yang memakmurkan masjid.
    Dalam Islam, masjid memiliki kedudukan penting kerana pada zaman Nabi SAW, masjid menjadi pusat dakwah, pusat pentadbiran, tempat penyebaran dakwah dan suasana negara akan tercermin melalui institusi masjid.
    Nabi SAW menyambut duta dan utusan dari pelbagai negara di masjid, menemui para sahabat di masjid, menyampaikan ilmu di masjid dan tentera bergerak dari masjid. Semua ini menunjukkan masjid adalah pusat kehidupan Islam dan pusat seluruh kegiatan Islam.

    Gangguan Kanak-Kanak Ketika Solat
    Di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah al-Ansori RA, baginda SAW bersabda:
    Maksudnya: “Aku melihat Nabi s.a.w mengimami solat sedang mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulillah SAW. Apabila Baginda rukuk diletakkannya dan apabila bangun dari sujud Baginda mengangkatnya semula”.
    [Riwayat Muslim, no. Hadith 845]
    Berdasarkan hadith ini, dapat diambil pengajaran bahawa pergerakan kerana mendukung bayi tidak membatalkan solat. Ini kerana, di dalam sebuah hadith yang lain pula, Rasulullah SAW pernah memanjangkan sujudnya kerana cucunya Hasan dan Husein telah memanjat di belakang baginda SAW dan bermain-main di atas belakang baginda SAW. Ini seperti mana yang telah diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad.
    Daripada Muaz bin Jabal RA bahawa Nabi SAW pernah bersabda:
    Maksudnya: “Jauhilah masjid-masjid kalian daripada anak-anak kecil kalian”. [Riwayat al-Baihaqiy, no. Hadith 750] (Imam al-Baihaqiy mengatakan hadith ini marfu’ tetapi tidak sahih [Lihat: al-Sunan al-Kubra, 10/177])
    Hadith ini tidaklah boleh dijadikan sandaran berdasarkan amalan atau sunnah yang berlaku kepada Baginda SAW sendiri. Kedudukan hadith ini daripada sudut usul fiqh tidak memungkinkan untuk berhujah dengan hadith yang sahih seperti riwayat Muslim di atas.
    Justeru, memberi galakan ke masjid lebih utama dan aula sebagai latihan dan tamrin untuk memupuk rasa cinta ke masjid.
    Namun, sekiranya kanak-kanak itu dikhuatiri menganggu jemaah yang lain maka sebaiknya tidak di bawa ke masjid. Ini merupakan zahir jawapan daripada al-Imam Malik apabila ditanyakan kepada beliau mengenai kanak-kanak yang di bawa ke masjid, maka jawab al-Imam: “Sekiranya kanak-kanak itu tidak mengganggu orang lain maka tidak mengapa, jika sebaliknya maka sebaiknya tidak di bawa ke masjid”. (Lihat al-Mudawwanah, 1/195)

    Kedatangan Kanak-Kanak Ke Masjid
    Sejarah telah membuktikan bahawa kanak-kanak telah dibawa ke masjid untuk diajarkan ibadah solat serta pembelajaran ilmu. Bahkan kanak-kanak perlulah di bawa ke masjid semenjak kecil supaya perasaan cintakan masjid serta cintakan solat berjamaah dapat dipupuk lebih awal dalam diri mereka.
    Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata: Institusi masjid juga boleh mengajar kita erti persamaan. Persamaan manakah yang lebih terserlah berbanding persamaan kaum Muslimin di dalam masjid ? Orang tua duduk di samping anak-anak kecil, orang kaya di samping orang yang miskin, menteri di samping buruh, pemimpin di sebelah rakyat, dan ternyata kesemuanya tidak ada perbezaan di antara mereka. Lihat Masjid Parlimen Umat (Hlm. 30).

    Hukum Membawa Kanak-Kanak Ke Dalam Masjid
    Para fuqaha terbahagi kepada dua pendapat dalam isu ini. Berikut kami kongsikan pendapat dan hujah mereka:
    Pertama: Kanak-Kanak Dilarang Untuk Dibawa Ke Masjid
    Sebahagian fuqaha Malikiyyah, Hanabilah, dan Syafieyyah berpendapat bahawa kanak-kanak yang belum mumayyiz dilarang atau tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam masjid. Mereka berdalilkan dengan sebuah hadis yang menyebut:
    Daripada Muaz bin Jabal RA bahawa Nabi SAW pernah bersabda:
    Maksudnya: “Jauhilah masjid-masjid kalian daripada anak-anak kecil kalian”. [Riwayat al-Baihaqiy, no. Hadith 750] (Imam al-Baihaqiy mengatakan hadith ini marfu’ tetapi tidak sahih [Lihat: al-Sunan al-Kubra, 10/177])

    Kedua: Kanak Kanak Dibolehkan Untuk Hadir Ke Masjid
    Pendapat ini dipegang oleh Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, Imam al-Syaukani, dan lain lain. Mereka berhujahkan dengan sebuah hadis daripada Abu Qatadah R.anhu beliau berkata:
    Maksudnya: “Aku melihat Nabi s.a.w mengimami solat sedang mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulillah SAW. Apabila Baginda rukuk diletakkannya dan apabila bangun dari sujud Baginda mengangkatnya semula”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 845]
    Kata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah ketika mengulas hadis ini: Hadis ini menjadi dalil bahawa hukum kanak-kanak masuk ke dalam masjid adalah dibolehkan. Lihat Fath al-Bari, Ibn Hajar (2/276).
    Mereka juga berdalilkan sebuah hadis sahih daripada Anas bin Malik R.anhu beliau berkata, Rasulullah S.A.W bersabda:
    Maksudnya: Sesungguhnya aku masuk ke dalam solat dan aku hendak memanjangkannya. Kemudian aku mendengar suara tangisan kanak-kanak maka aku ringkaskan (solat).
    Riwayat al-Bukhari (666) & Muslim (723)

    Kata al-Imam al-Syaukani Rahimahullah ketika mengulas hadis ini: Pada hadis ini menunjukkan keharusan untuk membawa masuk kanak-kanak ke dalam masjid. Lihat Nailul Authar, al-Syaukani (5/48).

    Hukum Meletakkan Kanak-Kanak Di antara Saf Lelaki Dewasa
    Di dalam Sahih al-Bukhari terdapat sebuah hadith yang menceritakan tentang bagaimana Rasulullah SAW menyusun saf kanak-kanak dengan mengarahkan Anas bin Malik RA berada bersama-sama kanak-kanak kecil dan kemudian Rasulullah SAW solat bersama mereka.
    Al-Imam al-Mawardi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir menukilkan mengenai permasalahan di atas, kata beliau: “dan telah berkata sebahagian ashab kami, yang lebih utama itu adalah dengan meletakkan kanak-kanak (di dalam saf) di antara dua lelaki kerana lebih membawa kanak-kanak tersebut kepada mempelajari pergerakan-pergerakan solat.” (Lihat al-Hawi al-Kabir, 2/340)
    Adapun mengenai terputusnya saf, setakat pencarian kami (wallahu a’lam), kami tidak mengetahui salah seorang dari ulama’ yang mengatakan terputusnya saf kerana wujudnya kanak-kanak di dalam saf tersebut.
    Pendapat ulama’ kontemporari seperti Syeikh Ibn Baz Rahimahullah dan juga Syeikh Ibn ‘Uthaymeen Rahimahullah mengatakan bahawa ianya tidak terputus. Ianya juga adalah pendapat Syeikh Soleh al-Munajjid.Wallahu a’lam.

    Tarjih
    Setelah meneliti hujah-hujah yang dikemukakan oleh kedua-dua kumpulan, kami lebih cenderung dengan hujah golongan yang kedua bahawa kanak-kanak diBOLEHkan untuk hadir ke masjid berdasarkan dalil-dalil yang sahih lagi sarih berkenaan hal tersebut.

    Kedudukan Kanak-Kanak Di Dalam Saf Solat
    Berikut merupakan beberapa keadaan saf mengikut bilangan makmum dan jantinanya.
    Pertama: Jika seorang imam bersama dengan dua orang ataupun lebih dari makmum lelaki, ataupun di belakang imam tersebut terdapat seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak maka keduanya berada di dalam satu saf di belakang imam.
    Kedua: Sekiranya seorang imam diikuti oleh dua orang makmum lelaki dan seorang perempuan, maka kedua orang lelaki tersebut berada dalam satu saf di belakang imam manakala perempuan tersebut berada di belakang keduanya.
    Ketiga: Dalam keadaan ramainya makmum lelaki berserta perempuan dan juga kanak-kanak bersama imam maka kedudukan para makmum lelaki adalah di saf pertama atau kedua-dua saf yang paling hampir dengan imam. Kemudian kanak-kanak berada di belakang mereka. Manakala terdapat suatu pendapat di sisi para fuqaha bermazhab Syafie yang mengatakan bahawa diletakkan di antara dua orang lelaki dewasa itu seorang kanak-kanak supaya dia dapat mempelajari pergerakan-pergerakan solat. Lihat Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (27/36-37).

    Cadangan & Syor
    Setelah kami bahaskannya maka kami dapati dan mencadangkan seperti berikut:
1.Jika kanak-kanak teramat kecil dan susah untuk di jaga serta mengganggu Jemaah, maka aulanya tidak di bawa ke masjid.
2.Jika kanak-kanak tidak mengganggu namun dibimbangi oleh kedua ibu-bapa akan keadaannya, maka boleh diletakkan di sebelah ibu-bapanya. Kami syorkan dalam keadaan sebegini, ibu-bapa untuk bersolat di tepi dinding (hujung saf) dan diletakkan anaknya itu dihujung sekali.
3.Jika kanak-kanak mampu berdikari, aulanya diletakkan di saf kanak-kanak.
4.Sayugia juga wujudnya penyelia yang mengawasi dan membimbing kanak-kanak di dalam saf dan solat mereka agar kanak-kank dapat melakukan solat dengan sebaik mungkin. Di samping itu, dia dapat menasihatkan kanak-kanak dari berbuat bising dengan mengajarkan adab-adab dan meraikan kehormatan masjid.

KENYATAAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
Setelah kami meneliti dan menekuni perbahasan serta nas-nas yang telah disebutkan di atas, kami berpendapat bahawa galakan membawa kanak-kanak untuk hadir ke masjid adalah bertepatan dengan ruh syarak.
Syeikh Abdullah Nasih Ulwan di dalam kitabnya yang masyhur Tarbiyah al-Aulad telah menyebutkan tiga institusi penting untuk kanak-kanak iaitu:
  • Rumah: Iaitu tempat pembangunan fizikal, adab, dan akhlak bagi kanak-kanak.
  • Masjid: Selaku tempat pembangunan kerohanian bagi kanak-kanak.
  • Sekolah: Yang merupakan tempat pembangunan akal fikiran, adab, serta pemikiran kanak-kanak.
    Justeru, telah menjadi suatu adat kelaziman para ulama dan salafussoleh mengajar anak-anak mereka untuk hadir ke masjid. Bahkan di zaman mutakhir ini telah terdapatnya halaqah atau majlis pengajian ilmu untuk kanak-kanak yang dijalankan di masjid-masjid seperti di Masjid al-Haram, Masjid al-Nabawi, Masjid al-Umawi, dan masjid-masjid yang terdapat di Mesir.
    Menjadi saranan buat ibubapa, hendaklah mereka memainkan peranan penting dengan memerhatikan tingkahlaku anak-anak mereka di dalam masjid, mendidik dan mengingatkan anak-anak mereka akan tingginya kehormatan dan kedudukan masjid di dalam Islam, serta memahamkan anak-anak mereka akan fungsi atau peranan masjid itu sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah di dalam al-Quran:
    Maksudnya: Pada rumah-rumah (masjid-masjid) yang Allah telah mengizinkan supaya diangkat dan disebutkan nama-Nya di dalamnya. Di situ juga tempat Allah S.W.T disucikan pada waktu pagi dan petang.
    Surah al-Nur (36)
    Imam al-Hafiz Ibn Kathir Rahimahullah menukilkan pendapat Ibn Abbas R.anhuma ketika menafsirkan ayat ini yang mana beliau berkata: Allah S.W.T melarang perbuatan lagha (sesuatu yang sia-sia dan melalaikan) di dalamnya. Rujuk Tafsir al-Quran al-Azhim, Ibn Kathir (6/62).
    Kami juga mengesyorkan agar pihak masjid mengawasi kanak-kanak dengan tatasusila dan akhlak yang baik seperti tidak menengking, tidak memarahi, mengkasari, serta tidak memukul kanak-kanak. Sebaliknya pamerkanlah akhlak yang baik serta tunjuk ajar supaya terjalin binaan kasih sayang di antara ibubapa, pihak masjid, serta kanak-kanak itu sendiri.
    Pendekatan yang diambil oleh Masjid Wilayah juga perlu diambil perhatian oleh pihak pengurusan masjid-masjid yang lain supaya kesemua pihak baik ibubapa, kanak-kanak, dan juga  jemaaah yang lain dapat hadir ke masjid dengan perasaan yang tenang. Semoga dengan pencerahan ini, kesemua pihak dapat melaksanakan ibadah dengan baik dan tenteram. Santunilah anak-anak kecil dan saling menghormatilah sesama yang tua.
    Ini berdasarkan sabda Nabi S.A.W:
    Maksudnya: Bukanlah dari kalangan kami sesiapa yang tidak mengasihi anak-anak kecil kami dan tidak memuliakan golongan yang tua dari kalangan kami.
    Riwayat al-Bukhari di dalam Al-Adab al-Mufrad (358)
    Kami sangat mengharapkan agar pihak masjid benar-benar dapat memainkan peranan yang penting sebagai institusi penyatuan ummah, tempat penyebaran ilmu, serta medan zikrullah. Semoga semua pihak dapat berusaha mengimarahkan masjid dan seterusnya menjadikan mereka sebagai golongan yang layak mendapat naungan Allah S.W.T di akhirat kelak. Ameen.

    Akhukum fillah,
    S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
    Mufti Wilayah Persekutuan

TAZKIRAH : PERINGATAN DIRI SEBELUM KE SANA



Andaikan 3 individu berbeza meminjam sebiji pinggan daripada Kita.. Selang beberapa tempoh masa, individu pertama memulangkan pinggan tersebut dalam keadaan bersih cantik tanpa sebarang kecacatan.. Lalu Kita pun terus meletakkannya di atas rak pinggan mangkuk seperti keadaan asalnya..
Individu kedua pula memulangkan pinggan tersebut dlm keadaannya yang masih kotor; tidak berbasuh.. Pinggan tersebut akan Kita basuh sehingga bersih, kemudian barulah ianya diletakkan di tempat yg sepatutnya..
Individu ketiga pula memulangkan pinggan tersebut dalam keadaan pecah bersepai.. Tidak boleh dibezakan lagi bentuknya antara pinggan mahupun serpihan kaca.. Tiada nilainya lagi.. Kita tiada pilihan lain selain menghumbankannya ke dlm tong sampah yg hina..
Begitulah jua halnya dgn Allah Taala.. Jika Kita kembali kepadaNya dalam keadaan bersih, elok, tanpa kekotoran dosa, maka Allah akan terus meletakkan Kita di tempat yang baik dan tempat yg selayaknya bagi Kita.. Iaitu syurga..
Namun jika Kita kembali ke hadratNya dlm keadaan kotor dgn dosa, Allah akan 'basuh' Kita sebersih-bersihnya di dlm api neraka sebelum memasukkan Kita ke dlm syurga..
Tetapi jika Kita kembali kepadaNya dlm keadaan yg rosak imannya, sehingga tidak dpt dibezakan antara iman dengan kufur, maka Allah tidak akan teragak2 utk menghumbankan Kita ke dlm neraka jahannam yang hina buat selama-lamanya, ibarat pinggan yg pecah; tiada nilai lagi...
Semoga bermanfaat
”Dan untuk orang-orang yang melakukan kejahatan (syirik dan maksiat), balasan tiap-tiap satu kejahatan mereka ialah kejahatan yang sebanding dengannya serta akan ditimpakan kehinaan; tiadalah bagi mereka pelindung dari (seksa) Allah; muka mereka (hitam legam) seolah-olahnya ditutup dengan beberapa bahagian (yang gelap-gelita) dari malam yang gelap-gelita. Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.”
(Surah Yunus:27)

TAZKIRAH : JAGA-JAGA, TERGELINCIR

Nu'man bin Tsabit atau yang biasa kita kenal dengan Imam Abu Hanifah rahimahullah Ta'ala, pernah berjalan bertentangan arah dengan seorang budak kecil yang berjalan mengenakan terompah kayu.
Si imam berkata: "Jaga-jaga nak, dengan terompah kayumu itu, jangan sampai kamu tergelincir."
Budak ini pun tersenyum dan mengucapkan terima kasih atas perhatian Imam Abu Hanifah.
"Bolehkah saya tahu namamu, Tuan?" tanya si budak kecil itu tadi.
"Nu'man namaku"  jawab si imam.
"O.. jadi, tuankah yang  selama ini terkenal dengan gelaran Al-Imam Al-A'zhom (Imam agung) itu?", tanya si budak.
"Bukan aku yang memberi gelaran itu. Masyarakatlah yang berprasangka baik dan memberi gelaran itu kepadaku", jawab si Imam.
"Wahai si Imam, berhati-hatilah dengan gelaranmu. Jangan sampai tuan tergelincir ke neraka kerana gelaran itu. Terompah kayuku ini mungkin hanya menggelincirkanku di dunia. Tetapi gelaranmu itu dapat menjerumuskan kamu ke dalam api yang kekal JIKA KESOMBONGAN dan KEANGKUHAN menyertainya..."
Ulama besar yang diikuti banyak umat Islam itupun tersungkur menangis menerima nasihat 'tajam' daripada seorang budak kecil.
Imam Abu Hanifah Rahimahullah Ta'ala (Hanafi) bersyukur. Siapa sangka, peringatan yang begitu dalam maknanya, justeru ia datang dari lidah seorang budak.
Betapa banyak manusia yang tertipu kerana PANGKAT, KEDUDUKAN, GELARAN, tertipu kerana POSISI YANG DIMULIAKAN, tertipu kerana STATUS SOSIAL, tertipu kerana gelaran  HAJI/HAJJAH, USTAZ/USTAZAH, AL-FADHIL, SYAIKH, DOKTOR, DATO'/DATUK/DATIN dan sebagainya.
Marilah kita berhati-hati dan TERUS SALING MENGINGATKAN agar jangan sampai kita tergelincir...
"TIDAK AKAN MASUK SYURGA orang yang dalam hatinya ada sifat sombong, walaupun hanya seberat biji sawi."
(Hadis riwayat Muslim)


Inline image 1


TAZKIRAH : MUHASABAH

Seorang doktar bergegas ke hospital setelah menerima panggilan untuk pembedahan emergency. Beliau menukar baju dan terus ke bilik pembedahan. Beliau nampak bapa budak sedang bermundar-mandir di bilik tersebut menunggu kehadiran doktor.
Selepas nampak doktor, bapa itu menjerit:
“Mengapa lambat sangat? Doktor tak tahu nyawa anak saya dalam bahaya?!! Doktor tak de rasa sebarang tanggungjawab?”
Doktor tersebut tersenyum dan menjelaskan:
“Saya mohon maaf. Saya tiada di hospital dan saya telah datang secepat mungkin… sekarang saya perlu saudara bertenang supaya saya boleh melakukan kerja saya.”
“Bertenang!!! Mudah cakap. Bayangkan kalau anak doktor yang di dalam sana!!!! BOLEHKAN DOKTOR BERTENANG?!!! JIKA ANAK SAYA MATI, APA YANG DOKTOR NAK BUAT!!” jerit bapa budak itu lagi.
Doktor tersebut bersenyum dan berkata:
“Saya akan berpegang pada ajaran Islam - dari tanah kita datang kepada tanah kita dikembalikan…Doktor tidak boleh memanjangkan umur, hanya Allah boleh. Pergi berdoa untuk anak saudara dan kami akan cuba lakukan yang terbaik. InshaAllah.”
Bapa itu masih tidak berpuas hati dan berbisik pada hati:
“Mudah bercakap nasihat bila tak kena batang hidup sendiri.”
Pembedahan itu mengambil masa beberapa jam…doktor keluar dengan senyuman lebar dan ceria.
“Alhamudillah. Anak saudara selamat!”
Tapi tanpa mendengar jawapan bapa tersebut, doktor terus berkata,
“Ada apa-apa tanya jururawat saya.”
Bapa budak tadi tersinggung,
“Mengapalah doktor tadi sombong sangat? Tak boleh ke tunggu dua tiga minit untuk berbincang mengenai keadaan anak saya?” kata bapa itu ke jururawat…
Jururawat itu tiba-tiba menangis dan berkata,
“Anak doktor Hisham meninggal semalam… accident… beliau tadi atas urusan perkebumian ketika kami menelefon beliau untuk membedah anak encik. Selepas habis bedah, doktor kena gegas untuk balik mengebumikan anaknya.”
jawapan jururawat tu buat bapa budak tu tiba-tiba tergamam.
Manusia biasa melihat dan menunding atas, bawah, kiri dan kanan…
Tapi mereka sering terlupa untuk melihat diri sendiri.
Adakah kita salah seorang daripadanya?
Wallahu a’lam!

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada ALLAH (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan”.
(Surah Al-Hasyr ayat:18)

TAZKIRAH : UBAT HATI



Inline image 1

UBAT HATI ADA 5 PERKARA:
1. Baca Al-Quran dan cuba menghayati maknanya
Cuba kita tanya kepada diri kita, berapa kali dalam sehari kita membaca al-quran? atau bila kali terakhir kita membaca al-quran dan maksudnya? Kalau setiap hari kita boleh membaca akhbar, surat atau laporan huruf demi huruf, kenapa kita tidak cuba usahakan untuk membaca Al-Quran?
2. Dirikanlah Solat malam (Qiyamullail)
Sentiasalah berniat untuk bangun Qiamullail, dan berusahalah untuk bangun, beristighfarlah memohon ampun daripada Allah S.W.T bagi memudahkan kita dikejutkan setiap pagi untuk melaksanakan ibadat ini.
3. Rajinkan diri berada bersama orang-orang soleh (majlis ilmu)
Hadirilah majlis ilmu kerana ianya salah satu daripada taman-taman syurga. Malaikat akan sentiasa bersama dengan kita sepanjang majlis ilmu. Doa-doa lebih mudah dikabulkan dan jiwa semakin tenang dan tenteram.
4.Perbanyakkanlah berpuasa sunat
Cubalah perbanyakkan berpuasa sunat. Sebab puasa boleh menjadi perisai untuk kita menundukkan hawa nafsu dan menambahkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Sebenarnya puasa sunat lebih sukar untuk ditunaikan berbanding puasa wajib tetapi bila memikirkan motivasi kelebihan orang yang berpuasa sunat ini sangat disayangi oleh Pencipta segala makhluk maka sama-sama kita berusaha ke arah itu.
5.Zikir malam berpanjangan
Terdapat banyak cara zikir mengingati Allah yang boleh kita laksanakan. Sentiasalah kita mengamalkannya. In shaa Allah kita termasuk di dalam kalangan hamba yang sentiasa dekat dengan Allah.

TAZKIRAH : HIJRAH DI ZAMAN MODEN

Hijrah yang sebenar bukan hanya bermaksud mengingati tarikh 1 Muharam dalam kalendar Islam setiap tahun. Tetapi, hijrah yang terbaik adalah perubahan daripada keburukan kepada kebaikan dalam setiap sudut kehidupan.
Hijrah juga suatu proses menuju keindahan, berjuang kepada kebenaran, semangat untuk mengubah cara berfikir dan tingkah laku, meninggalkan keburukan atau kejahatan dan segera melakukan perkara yang lebih mulia.
Peristiwa hijrah itu berlaku pada 1,400 tahun yang lampau dan berjaya dengan misinya, bagaimana pula dengan hijrah umat Islam pada hari ini? Bagaimana caranya untuk memperoleh kebaikan dari konsep ‘hijrah’ ini?

#1- Niat Berubah Dari Keburukan Kepada Kebaikan
Islam telah memperluas maksud dan konsep hijrah melalui niat dan kesediaan umatnya berjihad demi Islam. Dalam situasi kini, perubahan dari aspek fizikal, pemikiran, hati, persekitaran dan kehidupan turut tergolong dalam cabang hijrah.
Misalnya, jika hari ini kita melakukan amalan ibadah lebih baik daripada hari-hari sebelumnya, pastinya kita sudah melakukan hijrah. Iaitu, dalam erti meninggalkan larangan Allah SWT. Seperti sabda Rasulullah;
“Orang yang berhijrah adalah orang yang meninggalkan sesuatu yang dilarang Allah.” 
Hadits Riwayat Bukhari Dan Muslim

#2- Kesungguhan Dan Berusaha
Hijrah juga adalah bukti kesungguhan iman daripada seorang hamba sejati kepada penciptanya. Jadi orang yang mengerjakan perintahNya akan memperoleh kebaikan yang sama seperti orang berhijrah.

#3- Penggunaan Masa dengan Baik
Konsep hijrah dalam zaman globalisasi ini juga sangat mementingkan ‘masa’ dan perkembangan kemajuan hari ini turut menguji kebijaksanaan umat Islam dalam membahagikan masa agar tidak tewas.
Dari Ibnu Abbas RA berkata Rasulullah SAW bersabda;
“Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, iaitu masa muda sebelum tua; masa kaya sebelum miskin; masa lapang sebelum sempit; masa sihat sebelum sakit dan masa hidup sebelum mati.”
Oleh itu, selagi ada masa, lakukanlah berbanyak-banyak kebaikan dengan berkati kepada agama dan manusia.

#4- Keseimbangan Dunia Dan Akhirat
Keseimbangan antara dunia dan akhirat adalah sangat penting. Umat Islam hari ini bukan saja dituntut melaksanakan kemajuan zaman sahaja, tetapi diingatkan agar tidak lupa mempertingkat ketaatan dan ketakwaan terhadap Allah SWT.

Maka, hijrah itu adalah proses yang harus berlangsung sepanjang perjalanan hidup sebagai muslim, sebagai tangga yang meninggikan darjat di sisi Allah SWT. Sebab itu, hijrah tidak boleh ditunda dan ditangguh kerana dalam proses ini terkandung keuntungan, keberkatan, kebaikan hidup di dunia dan bekalan di akhirat kelak.

Jadi dapat disimpulkan, perubahan merupakan tuntutan daripada sesuatu yang buruk kepada yang baik, daripada yang baik kepada yang lebih baik. Dengan itu, umat Islam perlu sentiasa bermuhasabah dan berusaha memperbaiki diri serta kehidupan. Jika usaha hijrah tersebut memberikan kesan, ini bermakna pengertian hijrah berjaya dihayati.   
Dengan mengingati peristiwa hijrah Rasulullah SAW bukan sekadar mengingatinya, tetapi menghidupkan ‘hijrah´ tersebut dalam kehidupan. Ingatlah, umat Islam yang meraih kemuliaan dan kemenangan hakiki adalah seorang muslim yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah SWT.
sumber: Rabiatul Adaweeyah




Inline image 1

TAZKIRAH : MENCEGAH SEBELUM MERAWAT


Bezakan Mana Islam, Mana Silap Tafsiran

Seorang isteri mengadu suaminya banyak menggunakan dalil-dalil agama untuk menghalalkan kecurangannya .

“Sampai hati abang bercuti dengan perempuan lain di Pangkor,” kata seorang isteri sambil menahan marah.

“Dalam al-Quran, Allah suruh lelaki kahwin 4. Nak kahwin mestilah kena ‘couple’ dulu. Kenal-kenal dulu,” hujah suaminya.

“Allah tidak adil!” Amuk si isteri.

“Kamu nusyuz. Penentang hukum Allah. Aku tak wajib lagi bagi nafkah pada perempuan nusyuz macam kau, faham!” gertak suami. Dia juga menyeterika perasaan isterinya dengan ancaman neraka.

“Saya nak rujuk mahkamah,” kata isteri apabila dilihatnya ruang bebincang semakin tertutup.

“Kalau kamu adu ke pejabat agama atau mahkamah syariah, kamu tak akan cium bau syurga. Perempuan ramai di neraka sebab tidak taat kepada suaminya. Faham!” Ayat pedih ini dihumban ke telinga isterinya.

“Kenapa Islam diskriminasikan perempuan?” tangis si isteri teresak-esak.

Agama si isteri terfitnah tika itu kerana dia keliru membezakan mana Islam dan mana sikap umat Islam. Allah memberi amanah berat kepada seorang suami untuk mendidik isterinya merasai indahnya Islam. Ironinya, banyak sikap dan akhlak suami yang membuatkan isterinya yang kurang ilmu makin jauh dari agama kerana tersilap menyangka Islam yang menganiaya. Mana mungkin agama suci ini menzalimi sesiapa?! Kita yang belum cukup ilmu mengenainya.

Di Malaysia, kita bertuah apabila kes cerai-rujuk, poligami dan nusyuz mesti diadili di mahkamah. Mahkamah berperanan sebagai badan berautoriti yang boleh mendengar suara semua pihak dan memberi keadilan dalam kes mereka. Enakmen kekeluargaan di Malaysia memperakui aduan isteri untuk mengelakkan sebarang kezaliman dan ketidak adilan daripada berlaku. Ia selari dengan satu prinsip hadis sahih, la dharar wala dhirar (Tiada kemudaratan dan tidak boleh  membalas kemudaratan).

Kita Buat, Kita Dapat

Si isteri membuka album lama. Dia teringat kembali saat-saat sebelum bernikah dia juga selalu bercuti bersama bakal suaminya hingga terpaksa berkrisis dengan ibubapa. Dia baru dapat membayangkan kepedihan perasaan ibubapanya saat itu.

“Kalau betul ‘couple’ itu satu kesilapan. Kenapa aku sahaja menanggung kesannya? Suami aku  pula seronok berfoya-foya,” jerit batinnya.

Dia silap lagi membuat sangkaan. Mana ada orang dapat terus seronok dengan dosa. Nikmatnya cuma sesaat tapi azabnya akan mendera kita sepanjang usia. Si suami itu tidak akan menemui bahagia selagi dirinya tidak bertaubat. Yang ditempahnya hanyalah neraka dunia yang kedua.

Saya menghadirkan contoh situasi ini agar mereka yang belum bernikah beringat-ingat. Punca-punca kecurangan boleh dielak sejak belum bernikah. Tidak hairanlah Islam sangat mementingkan aspek pemilihan pasangan. Pesan Nabi, pilihlah yang beragama kamu akan beruntung.

Jika kita tidak mahu mendapat pasangan yang curang, jangan curangkan hubungan kita dengan Allah melalui perbuatan menghampiri zina. Tiada nikmatnya maksiat. Hanya memberi azab setiap hari bahkan juga di kemudian hari.

Analoginya, jika kita tidak mahu terkena penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi ketika di usia tua, kita perlu menjaga pemakanan dan berdoa ketika di usia muda. Inilah kebijaksanaan mencegah sebelum merawat.