TAZKIRAH : MASIHKAH ADA BERHALA DALAM HATI KITA

TAZKIRAH : MASIHKAH ADA BERHALA DALAM HATI KITA

Berhala biasanya ditafsirkan sebagai patung, objek yang disembah, dipuja, dan diagung-agungkan. Namun, untuk makna yang lebih luas, berhala juga boleh membawa maksud apa-apa yang disembah selain Allah S.W.T. Tidak semestinya dalam bentuk objek, bahkan mungkin juga dalam bentuk -isme atau perkara-perkara lain.
Persoalan terpenting, wujudkah berhala dalam hati? Apakah ia telah pun terwujud dalam hati kita? Ya! Mungkin kita sahaja yang tidak sedar akan kehadirannya. Mari kita sama-sama menelitinya.
PEMBENTUKAN BERHALA DALAM JIWA
Bagaimanakah wujudnya berhala dalam jiwa?
Mudah! Berhala dalam jiwa ini tercipta dan terwujud apabila kita melebihkan perkara lain melebihi Allah S.W.T, sehinggakan kita rasa ia lebih penting dan lebih diutamakan berbanding Allah S.W.T. Maka, secara tidak langsung, sudah terwujud ‘berhala’  dalam kehidupan kita.
Ketaatan, ketundukan, pengorbanan kita, semuanya kita berikan melebihi apa yang kita berikan kepada Allah S.W.T. Silap hari bulan, kita tidak lagi memberikan ketaatan, ketundukan dan pengorbanan yang mutlak kepada Allah S.W.T.
Pada titik ini, hakikatnya ‘berhala’ sudah pun terwujud.
Walaupun pada mulut, kita menyatakan bahawa kita tidak menyembah selain Allah S.W.T, tetapi ketahuilah sesungguhnya keimanan itu bukan dengan kata-kata sahaja. Ia adalah apa yang tersemat dalam hati dan dibuktikan dengan amal.
Maka sekarang, perhatikanlah kehidupan kita. Wujud perkara-perkara yang membuatkan kita mengendahkan arahan Allah S.W.T, meringan-ringankan perintah-Nya dan mendekatkan kita dengan larangan-Nya?
Maka, itulah ‘berhala’ kita.
PENANGAN BERHALA DALAM JIWA
Kewujudan berhala dalam jiwa ini, pasti menyebabkan kita semakin jauh daripada Allah S.W.T. Bagaimanakah agaknya fokus seorang manusia boleh kekal 100%, apabila dia perlu memberikan perhatiannya kepada dua perkara yang berbeza?
Misalnya, menonton bola di stadium hingga solat ditinggalkan. Antara bola dan solat, bola dirasakan lebih penting. Solat bolehdiqada, tetapi bola kalau ditonton yang tidak live, tidak sah katanya!
Hukum-hakam Allah kita tinggalkan, tidak terpakai. Alasannya, ia ketinggalan zaman dan tidak relevan. Hukum-hakam ciptaan manusia pula dijunjung. Malah bagi kita, itulah kemodenan.
Ataupun, memuja-muja sesuatu melebihi pujaannya kepada Allah S.W.T. Tidak pernah berzikir kepada Allah S.W.T, tetapi artis pujaan, bintang bola sepak, pelakon atau penyanyi pula, lebih diingati dan disebut-sebut. Itu juga adalah berhala-berhala dalam jiwa.
Apabila wujud dua cinta yang berlawanan, salah satu cinta perlu dikorbankan. Malangnya, manusia sering mengorbankan cinta Allah S.W.T. Mereka mengutamakan berhala yang ada dalam jiwa mereka dek nafsu yang telah membutakan mata hati mereka.
Apakah kita juga merupakan sebahagian daripada mereka?
RUNTUHKANLAH BERHALA DALAM JIWA ITU
Secara ringkasnya, berhala dalam jiwa ini adalah kecintaan-kecintaan kita kepada apa-apa sahaja selain daripada Allah S.W.T. Bukanlah dikatakan kecintaan kepada anak isteri, sahabat-sahabat, ibu bapa itu tidak dibolehkan. Ia tidak dibolehkan hanya apabila kita mengangkat cinta-cinta itu lebih tinggi, melebihi cinta kita kepada Allah S.W.T. Contohnya, cinta kepada ibu bapa. Kita perlu taat kepada mereka. Namun, ada had dalam mentaati itu. Kita hanya mentaati mereka selagi mana mereka tidak menyuruh kita mengingkari perintah Allah S.W.T. Hakikatnya, kita mentaati ibu bapa pun adalah kerana ia adalah arahan Allah S.W.T.
Kerana itu, ketaatan, cinta, pengorbanan, semuanya perlu kita fokuskan kepada Allah S.W.T. Ini kerana, Allah adalah Ilah(sembahan) dan Rabb (Tuhan) kita.
Maka, berhala dalam jiwa ini, wajib kita hapuskan dengan ketundukan kita kepada Allah S.W.T dan ketaatan kita kepada-Nya. Dengan meruntuhkan berhala dalam jiwa ini, barulah kita mampu tunduk sepenuhnya kepada Allah S.W.T, tanpa terikat sedikit pun dengan perkara-perkara lain.
PENUTUP: MEREKA PERUNTUH BERHALA. IKUTAN KITA
Namun, meruntuhkan berhala dalam jiwa memerlukan mujahadah. Bukan hanya dengan bicara kata semata. Ia memerlukan disiplin dan kekuatan. Oleh itu, kesabaran sangat diperlukan dalam usaha meruntuhkannya. Perlu juga kita mencari kekuatan-kekuatan yang mampu membina keutuhan roh agar mampu untuk meruntuhkannya.
Lihatlah kepada Nabi Ibrahim A.S. Dia menghapuskan berhala kaumnya, lalu kemudian dilemparkan ke dalam api. Ironinya, ketika dia dilempar itu, Jibril A.S dihantar untuk menghulur pertolongan. Tetapi, lihatlah apa yang dikatakan oleh khalilullah (kekasih Allah), Ibrahim A.S, pada saat tubuhnya sedang menunggu untuk dimasukkan ke dalam api itu.
“Kalau pertolongan daripada kau wahai Jibril, maka aku tidak memerlukannya. Cukuplah Allah sebagai pemberi pertolongan kepadaku.”
Inilah jiwa mukmin yang bersih. Tiada kebergantungan kepada perkara lain selain Allah dalam jiwanya. Selain Nabi Ibrahim meruntuhkan berhala batu dengan tangannya, dia juga telah membersihkan jiwanya daripada berhala-berhala yang ada di dalam dirinya.
“Kami berfirman: Hai api, jadilah kamu dingin, dan penyelamat bagi Ibrahim!” (al-Anbiya’: 69)
Allah S.W.T tidak menghanguskannya dalam api, bahkan menjadikan api itu terasa sejuk dan selesa untuk Ibrahim A.S.
Malah, perhatikanlah juga kebanyakan sabda Rasulullah S.A.W apabila para sahabat meminta nasihat. Nasihat Baginda S.A.W yang pertama-pertama sekali adalah (maksudnya): “Janganlah kau mensyirikkan Allah dengan apa-apa sekalipun.”
Rasulullah S.A.W menyuruh kita menghapuskan berhala dalam kehidupan kita. Berhala yang mengganggu hubungan kita dengan Allah S.W.T.
Apakah kita telah menyahutnya?

sumber penulis: Hilal Asyraf

No comments