TAZKIRAH : KALIS KEJAHATAN DENGAN PERISAI KEBAIKAN

TAZKIRAH : KALIS KEJAHATAN DENGAN PERISAI KEBAIKAN

Pernah tak waktu zaman kanak-kanak dahulu, bila ada sahaja kawan yang mengejek, kita disuruh membalas ejekannya dengan hanya menyebut ‘Alhamdulillah’?
Kemudian, kita dilarang pula membalas kembali ejekan tersebut dengan kata-kata selain ‘Alhamdulillah’ walaupun sebenarnya kita mampu untuk membidas kembali ejekan kawan kita.
Antara bentuk ejekan yang bisa menyakitkan hati kita ialah:
“Bodoh!”
 “Itulah kau, gemuk sangat.”
 “Kesian, kau diciptakan dengan kulit yang hitam.”
Dan pelbagai lagi bentuk ejekan yang menampilkan diri seseorang itu sebagai kanak-kanak yang nakal dan bercakap tanpa memikirkan perasaan kawan. Ustaz saya pernah berpesan:
“Jika diri kita diejek, disakiti dengan kata-kata, adalah lebih baik kita diam dan ucapkan ‘Alhamdulillah’. Jangan bertikam lidah dengan si dia.”
Benar, jiwa kanak-kanak lebih memberontak untuk membalas ejekan tersebut. Bahkan kalau boleh, mahu sahaja bertumbuk dengan kawan yang mengejek kita.
Tetapi rasa malu masih menebal dalam diri, jadi bermulalah episod berperang mulut. Sama-sama mengejek. Akhirnya masing-masing bermasam muka, memulakan perang dingin pula.
Pada waktu itu, saya tidak pernah tahu mengapa perlu membalas ‘Alhamdulillah’. Dek kedangkalan akal, saya pernah berkata:
“Sudahlah dia menyindir aku, kena pula cakap ‘Alhamdulillah’. Seolah-olah syukur bersetuju dengan ayat sindiran dia.”
Saya memahami bahawa ‘Alhamdulillah’ hanya disebut bila mana kita berasa gembira dan untuk menunjukkan rasa kesyukuran.
Rupa-rupanya ianya bukan begitu, kerana makna bagi ‘Alhamdulillah’ itu sendiri ialah segala puji bagi Allah. Bermaksud hanya Allah Ya Hamid yang layak dipuji, bukan kita yakni hambaNya yang tidak sempurna.
Membalas ejekan kawan dengan memuji-muji Allah sebenarnya boleh melunturkan hatinya yang sedang membuak-buak ingin mengejek kita.

Bahkan, ianya boleh membentuk kita menjadi seorang insan yang penyabar dan pemaaf seandainya kita ikhlas menyebut pujian terhadap Allah dan mengingatiNya sewaktu diri kita disakiti.
Allah telah berfirman:
“Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).”
Surah Al-A’raaf, Ayat 199
Apabila menganjak dewasa, lain pula ceritanya. Tiada lagi ejek-mengejek seperti zaman kanak-kanak dahulu. Ianya telah diganti dengan perbuatan yang seangkatan dengannya seperti mengata, mengutuk, mengadu domba dan pelbagai lagi perbuatan negatif dengan tujuan untuk menjatuhkan kawan.
Tetapi, kita tetap tidak dibenarkan membalas kembali perbuatan kawan itu seperti mengata semula kepadanya atau mencanang keburukannya. Bahkan, kita diminta membalas kembali perbuatannya dengan kebaikan seperti mana Allah telah berfirman:
“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik;
Apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”
Surah Fussilat, Ayat 34

Islam itu indah. Ada hikmah mengapa kita diminta membalas kembali kejahatan yang dilakukan terhadap kita dengan kebaikan. Antaranya ialah:

#1. Allah tidak mahu kita berdendam dengan dia
#2. Allah mahu memupuk sifat sabar dalam diri kita
#3. Allah mahu dia memiliki sifat kebaikan melalui perbuatan baik yang kita tonjolkan
#4. Allah menegur kesilapan kita yang mungkin kita tidak menyedarinya
#5. Allah mahu silaturahim itu terus utuh antara kita dan Dia
#6. Allah juga mahu hambaNya sama saling bermaafan antara mereka
#7. Syurga Allah itu sangat luas untuk dimasuki oleh kita semua

Sesungguhnya, Allah sangat menyayangi orang yang sabar dan pemaaf seperti mana Dia telah berfirman:
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”
Surah Ali ‘Imraan, Ayat 133-134

Penulis: Nur Ismalina Haris :Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Perlis.

No comments