TAZKIRAH : HATI SUCI, TEMPAT CAHAYA DARI ILAHI

TAZKIRAH : HATI SUCI, TEMPAT CAHAYA DARI ILAHI

Pernahkah kita menjentik hati kita bagaimana untuk membersihkan hati?
Pernahkah merasa keupayaan membersih hati itu semakin pudar?
Terasa makin dibersih hati itu, makin susah untuk ia menjadi jernih…
Dan kita semakin kelelahan…
Rasulullah saw bersabda:
“Dalam jasad manusia ada seketul daging,jika baik daging itu,maka baiklah seluruh tubuh,jika buruk daging itu maka buruklah seluruh tubuh. Dan ketahuilah daging itu adalah hati”
(Riawayat Bukhari & Muslim)
Cuba kita koreksi..dalam keadaan kita mahu memperbaiki diri, di manakah letaknya Allah dalam hidup ini?
“Apabila kamu ditimpa bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (daripada ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain Allah. Tetapi apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah(tidak mengingatiNya). Sememangya manusia itu sentiasa kufur (dengan nikmat-nikmat Allah)
(al isra’ 17:67)
Jika kita hanya kembali kepada Allah sewaktu kita susah ini bererti hubungan kita dengan Pencipta kita adalah hubungan yang wujud hanya ketika kita bermasalah sahaja.
Maka adakah apabila hadirnya ombak besar menggunung tinggi persis melebihi ketinggian 2 batang pokok kelapa di hadapan kita, pastinya kita tidak akan terfikir akan siapa-siapa lagi melainkan Allah swt (dengan sepenuh hati). Saat itu kita akan kembali kepada fitrah, bertindak kerdil di hadapan Allah swt secara automatik tanpa disuruh atau dipaksa.
Lihat kisah Firaun, semasa berkuasa siapa dia? tapi apabila ditenggelamkan di laut merah apa kata hati dia? “sesungguhnya aku beriman kepada Tuhan Harun & Musa”. Tetapi hanya ketika nyawa di halkum. Itu sudah terlambat.
Bagaimana Mendidik Hati Menjadi SUCI?
Kenapa masih sukar membersihkan hati?
Kerana, dalam diri kita, kita masih menyimpan rasa cinta dengan dosa. Ya, rasa cinta dengan dosa. Kemungkinan, daripada 100 dosa yang biasa kita lakukan, kita telah tinggalkan 99. Namun, mungkin ada satu dosa yang kita langsung tidak boleh tinggalkan (kita rasa). Kita ada rasa cinta kepada dosa itu. Maka, ketahuilah kecintaan kepada dosa itu yang menghalang jiwa kita menjadi bersih.
Firaun pernah menjadi bapa angkat kepada Musa as. Dia membesarkan Musa, memberi makanan serta perlindungan ketika Musa as kecil. Itulah jasanya kepada Nabi mulia itu. Tetapi dosanya satu. Rasa untuk menjadi Tuhan melampaui rasa berTuhan.
Abu Talib pernah suatu masa menjadi pelindung kepada Nabi saw dari serangan hebat musyrikin, tetapi segala jasanya itu terhapus dengan satu kedegilan tidak mahu beriman kepada Nabi. Maka as Sa’iir lah tempat tinggalnya.
Kita?
Mungkin kita orang yang selalu puasa, solat malam, bersedekah dan sebagainya. Tetapi kita sering mengumpat. Seolah-olahnya umpat itu perkara biasa bagi kita. Maka,cukuplah dengan satu sifat mazmumah itu menyusahkan kita untuk mendapat hidayah iman dari Nya.
Jadi solusinya ialah, hendak membersihkan jiwa, pertamanya kita perlu rengkuh, lunyaikan segala kemungkaran yang melekat,meraja, serta mempengaruhi keegoan hati kita sejak sekian lamanya. Tolaklah segala ajakan buruk yang yang datang kepada kita kerana Allah. Walaupun jahiliyyah itu adalah jahilyyah yang kita suka.
Dan kecintaan kepada dosa itu bukanlah alasan logik untuk kita terus berbuat dosa. Apakah ketika kita masih cintakan dosa, suka berbuat dosa, dimanakah agaknya cinta kita kepada Allah swt semasa kita melakukan dosa itu? Cinta kepada siapakah yang lebih tinggi ketika itu?
Rasulullah saw bersabda: “seorang penzina tidak akan berzina jika ketika itu dia berada dalam keimanan. Seorang pencuri tidak akan mencuri jika ketika itu dia berada dalam keimanan yang sempurna. Begitu juga seorang peminum arak tidak akan meminum arak jika ketika itu dia berada dalam keimanan”
(sahih muslim)
Cinta kepada dosa,itulah yang menghalang jiwa kita daripada ketukan hidayah untuk menjadi hamba yang sebenarnya. Kerana cinta dosa itu melemaskan kita untuk bernafas dalam jiwa hamba.
Kerana manusia itu makhluk holistik. Dan kerana islam itu agama sempurna. Kesempurnaan itu membutuhkan kesempurnaan taubat. Kerana taubat itu membersihkan hati, agar segalanya bisa kembali kepada fitrah. Dengan sempurna, seperti bayi. Itulah yang Allah mahu kita jadi :)
 "Wahai jiwa yang tenang datanglah kepada Tuhanmu dengan keadaan ridha dan diridhai" (Qs Al Fajr 27-28 )
wallahu'alam.
Perkongsian: Ahmad Syaher Bin Zamri





No comments