TAZKIRAH : BILA TERNIAT UNTUK BERBUAT BAIK, JANGAN BERTANGGUH!

TAZKIRAH : BILA TERNIAT UNTUK BERBUAT BAIK, JANGAN BERTANGGUH!

Apa pernah, kalian mengalami satu keadaan di mana melihat adanya individu di hadapan mata kalian yang dalam kesulitan dan merasa menyesal kerana tidak dapat membantu?
Barangkali kalian pernah membiarkan duit syiling milik seorang makcik tua yang terjatuh di atas lantai, walaupun di dalam hati kalian terdetik untuk menolong untuk mengambilkannya? Lalu kalian merasa serba salah setelah makcik tua itu berlalu pergi.
Terkadang kita menyesal sendirian kerana tidak membantu.
Di sini saya ceritakan satu kisah, pengalaman seorang rakan saya yang terdetik niat untuk membuat satu kebaikan. Namun niatnya langsung tidak menjadi kenyataan atas pilihan sendiri. Malah mengundang rasa serba salah dan penyesalan. Jadi, bagaimana niat murni Nur ini tidak terlaksana? Ayuh, teruskan pembacaan kalian.
Kejadian Di Vending Machine
Begini, rakan saya Nur merupakan seorang pelajar di salah satu institusi pengajian tinggi tempatan yang menuntut dalam jurusan pergigian. Menjadi rutin Nur untuk mengulangkaji pelajaran di perpustakaan kampus.
Dijadikan cerita pada suatu hari, bagi mengurangkan rasa mengantuk semasa mengulangkaji di perpustakaan, Nur bercadang untuk membeli air di vending machine.
Selesai mendapatkan minuman pilihan, Nur duduk di sebuah bangku berhampiran mesin tersebut. Duduk dan menikmati minuman di tangannya, sambil pandangan mata di tebar ke sekeliling. Dirasakan segar sedikit matanya berbanding di dalam perpustakaan tadi. Mengantuk sungguh!
Pada satu sudut di mana terletaknya vending machine tadi, terdapat seorang pelajar lelaki bukan warganegara tempatan yang dilihat sedang berdiri di hadapan mesin air itu. Dimasukkan duit kertasnya ke dalam mesin tersebut. Tidak berjaya. Vending machine itu menolak kembali duit kertas yang dimasukkan. Berulang kali dicubanya. Tetap tidak berjaya.
Nur memerhati gelagat si pelajar lelaki tersebut. Gaya mencari-cari duit syilingnya. Dilihat berkali-kali individu itu mengira duit syilingnya. Sekejap-sekejap mengira syiling, sekejap-sekejap memandang vending machine. Tidak cukup duit syiling lagaknya.
Gayanya mengundang simpati Nur untuk membantu. Ditambah lagi individu itu adalah pelajar warga asing. Agak terpinga-pinga dibanding pelajar warga tempatan jika berada dalam situasi yang sama. Mungkin individu itu tidak berapa mahir dengan penggunaan vending machine di situ. Nur merasakan serba tidak kena dengan situasi tersebut.
Nur serba salah sama ada ingin membantu atau tidak pelajar tersebut.
Dalam hati Nur bermonolog,
“Ishh.. Orang tu macam tak cukup syiling je. Teringin juga nak hulur syiling, tapi dia pelajar lelaki. Rasa segan pula nak menegur.”
Niat Yang Tidak Ditunaikan
Nur memandang individu tersebut dari jauh. Lama. Nur masih berkira-kira ingin membantu ataupun tidak. Namun akhirnya Nur mengambil keputusan untuk tidak menghulurkan bantuan kepada individu tersebut.
Daya ingin menolong dalam diri Nur dirasakan belum cukup kuat. Terasa berat untuk hanya bangun, maju beberapa tapak dan menghulur beberapa keping duit syiling sebagai bantuan.
Lantas Nur berlalu dan kembali ke dalam perpustakaan. Sesampainya Nur di dalam perpustakaan, dia berkata di dalam hati,
“Rasa macam menyesal tak tolong foreign student di vending machine tadi. Bukan senang sebenarnya Tuhan nak bagi aku peluang buat baik. Lagi pula Tuhan yang izin untuk tunjuk pada aku, ada orang dalam kesulitan.
Bukan kebetulan untuk tiba-tiba dapat pandang situasi tersebut. Ya, peluang yang bukan saja-saja Tuhan bagi. Sayangnya aku dah pun lepaskan peluang yang Tuhan berikan dan rasa perasaan serba salah tidak menolong ini tak best. Buat rasa menyesal saja.”
Hari Nur diteruskan dengan penyesalan yang membawa pengajaran. Insiden tersebut telah mengajar Nur sesuatu. Jika diputar kembali masa sekalipun, belum tentu Tuhan akan memberikan momen yang sama dengan peluang yang sama.
Bilamana kita sudah pun terdetik niat untuk membantu pada sesiapa yang dalam kesulitan apatah lagi di depan mata, jangan bertangguh untuk membantu! Seperti kata ulama’ silam terkenal,
“Apa yang telah terluput daripada umurmu tidak ada gantiannya, dan apa yang telah terhasil daripada umurmu, tiada ukuran nilai harganya” Sheikh Ibnu ‘Atoillah
Kalau Bukan Sekarang, Bila Lagi?
Kini, Nur menceritakan kembali bagaimana beliau tidak lagi melepaskan peluang untuk membantu. Membantu sesiapa saja yang tercapai pada pandangan matanya andai ada yang memerlukan. Bagaimana perasaan seakan ‘lega dan lapang’ yang menakjubkan dirasakan bilamana dapat membantu orang lain.
Apabila dapat melakukan kebaikkan, hati kita akan merasa bahagia sekali.
“Just now I saw a foreign guy, going somewhere and asked other people the direction. I walked behind him and looked at him. He was looking for some place I think. So I asked,
“Mr, where are you going?”
“I’m looking for surau.”
“That is the surau (pointing at the surau).”
Then I smiled. Well God, thank you.
Sekian.
Karya: Addin Dyna
“Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan(kebajikan) sebesar zarah, nescaya dia akan melihat balasannya..” 

(al-Zalzalah : 7)

No comments