TAZKIRAH : MISI TAQWA BELUM BERAKHIR

TAZKIRAH : MISI TAQWA BELUM BERAKHIR

Takwa merupakan wasiat Allah kepada seluruh umat, baik generasi pertama maupun generasi akhir.
Allah Ta’ala berfirman;
“Dan kepunyaan Allah-lah apa yang ada di langit dan yang di bumi, dan sungguh Kami telah memerintahkan kepada orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu, dan (juga) kepada kamu; bertakwalah kepada Allah. Tetapi jika kamu kafir, maka (ketahuilah) sesungguhnya apa yang di langit dan apa yang di bumi hanyalah kepunyaan Allah, dan Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.”
(Surah An-Nisa: 131)
Para ulama salaf telah banyak memberikan makna mengenai hakikat takwa.
Ibnu Umar berkata, “Seorang hamba tidak akan mencapai hakikat takwa sebelum meninggalkan apa yang menggelisahkan di dada.”
Ali bin Abi Thalib ditanya tentang takwa, lalu beliau menjawab, “Takut kepada Al-Jalil (Yang Maha Mulia), mengamalkan tanzil (Al-Qur’an), qana’ah kepada pemberian yang sedikit, serta bersiap-siap untuk menghadapi yaum ar-rahil (hari kematian).”
Ibnu Mas’ud berkata, “Takwalah kepada Allah dengan sebenar-benarnya takwa, iaitu Allah ditaati tanpa pernah didurhakai, diingat tanpa pernah dilupakan, disyukuri tanpa pernah dikufuri.”
Umar bin Abdul Aziz berkata, “Takwa adalah meninggalkan apa yang diharamkan dan melaksanakan apa yang diwajibkan Allah. Maka, apa-apa yang dikurniakan Allah sesudah itu adalah kebaikan ditambah kebaikan.”
Thalq bin Habib berkata, “Takwa adalah taat kepada Allah, mengikuti cahaya dari Allah dengan mengharap pahala dari Allah, dan meninggalkan maksiat kepada Allah berdasarkan cahaya dari Allah dengan rasa takut akan hukuman Allah.”
Ibnu Al-Mu’taz menyatakan dalam sya’irnya, “Jauhilah dosa-dosa kecil mahu pun besar, itulah takwa. Berbuatlah seperti orang yang berjalan di atas tanah berduri, melihat dengan hati-hati. Jangan remehkan dosa-dosa kecil, kerana sesungguhnya gunung itu terdiri dari pasir.” Jadi, hakikat takwa merupakan kata yang merangkumi segala perbuatan taat dan meninggalkan maksiat, baik besar mahu pun kecil.
Takwa secara garis besar adalah mengekang jiwa yang beriman dari dalam sehingga muncul kebaikan dari dirinya tanpa tekanan-tekanan luaran, dan menjauhi keburukan tanpa ancaman atau paksaan.

Sumber: Kitab Tarbiyah Dzatiyah terjemahan Muhammad Misbah.



TAZKIRAH : MENGURUS KESULITAN

TAZKIRAH : MENGURUS KESULITAN


“Jika Allah menolong kamu, maka tak adalah orang yang dapat mengalahkan kamu; jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan), maka siapakah gerangan yang dapat menolong kamu (selain) dari Allah sesudah itu? Kerana itu hendaklah kepada Allah saja orang-orang mukmin bertawakkal.”
(Ali Imran 160)
Dalam ayat ini Allah mengingatkan kita bahawa jika Allah menolong kita tidak ada satu kekuatan pun yang dapat mengalahkan kita. Namun jika Allah meninggalkan kita ke mana lagi kita akan minta tolong? Kerana itu sebaiknya kita hanya bertawakkal dan berserah diri pada Allah, Dialah sebaik baik penolong. Tidak ada yang lebih kuat dan hebat daripada Allah.
Dengan mentadabur ayat ini berulang kali, akan timbul keyakinan di dalam diri kita bahwa jika Allah menolong kita maka tidak ada satu kekuatan pun di dunia ini yang dapat mengalahkan kita. Keyakinan ini akan menimbulkan ketenangan dan keyakinan yang kuat di dalam hati bahawa dengan pertolongan Allah, kita dapat mengatasi pelbagai masalah yang hadir di hadapan kita, seberat manapun masalah itu.
Keyakinan tersebut akan membangkitkan rasa tawakal dan percaya penuh dengan pertolongan Allah. Rasa tawakal dan berserah diri pada Allah itulah sifat utama yang dapat mendatangkan pertolongan Allah pada kita. Rasa tawakal dan yakin akan pertolonga Allah itu juga akan membebaskan kita dari rasa gelisah, takut, cemas, dan segala perkara yang menggangu rutin kehidupan.
Boleh diamalkan doa yang diajarkan dalam hadis;
اَللَّÙ‡ُÙ…َّ لاَ سَÙ‡ْÙ„َ Ø¥ِلاَّ Ù…َا جَعَÙ„ْتَÙ‡ُ سَÙ‡ْلاً ÙˆَØ£َÙ†ْتَ تَجْعَÙ„ُ الْØ­َزْÙ†َ Ø¥ِØ°َا Ø´ِئْتَ سَÙ‡ْلاً
Ya Allah! Tidak ada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikan mudah. Sedang yang susah boleh Engkau jadikan mudah, apabila Engkau menghendakinya.”
(Riwayat Ibnu Hibban dalam kitab Shahih-nya) 


TAZKIRAH : INDAHNYA BEKERJA DI HOSPITAL

TAZKIRAH : INDAHNYA BEKERJA DI HOSPITAL

Pesakit: "Abang jururawat, best ke kerja di hospital? Dah lama ke kerja sini?"
Abang misi: "Bolehlah. Nak kata best, ada juga stressnya. Tapi, selama 5 tahun kerja di sini, dapat banyak pengalaman yang bernilai yang orang luar di sana takkan dapat rasa."
Pesakit: "Apa yang best sangat tu? Nurse-nurse lawa-lawa eh?"
Abang misi: "Bukan. Tu tak best. Ada yang lagi best." Pesakit: "Wah, apa dia?"
Abang misi: "Di sini setiap hari saya lihat pesakit meninggal dunia. Kerja saya uruskan kencing berak mereka, bersihkan mereka hinggalah ke urusan jenazah. Apa yang saya lihat sepanjang saya bekerja di hospital ni, betapa ramainya di antara mereka yang sudah meninggal..sebelum meninggal meminta-minta sama ada dari waris atau jururawat untuk pegang naskhah al-Quran. Ada yang tak boleh baca, ada yang suruh kami bacakan. Ada juga yang tidak sempat sentuh al-Quran, tak sempat baca al-Quran, Allah telah pun mengambil nyawa mereka. Bila dibacakan sahaja al-Quran pada mereka, berlinangan air mata.
Saya lihat betapa orang-orang yang berada di akhir nafas, majoriti nak sangat sentuh al-Quran. Kalau boleh, nak mati dengan peluk al-Quran. Pengalaman-pengalaman yang saya lalui di sini buat hati ini insaf. Sedar satu perkara yang sangat penting.
" Pesakit: "Hm. Apa dia?"
Abang misi: "Apa yang kita biasa pegang ketika kita masih sihat, apa yang kita biasa baca dan belai ketika masih hidup gembira tika tak datangnya sakit...itu jugalah yang kita akan dapat pegang dan sentuh di akhir hayat. Jika kita selalu pegang handphone di tangan setiap masa, sibuk dengan gajet di tangan dan lalai kerananya, agak-agak di akhir hayat kita nanti...dapatkah kita sentuh dan pegang al-Quran? Walaupun dalam handphone kita ada aplikasi al-Quran sekalipun sedangkan kita tak biasakan membacanya atau pegang al-Quran, sehari sekali pun susah nak belai dan belek al-Quran apatah lagi membaca atau mentadabburnya... Allah... Allah...
Sungguh, kita dah tak perlu handphone atau gajet di akhir nyawa kita.. kita sangat memerlukan al-Quran...barulah kita sedar masa itu apa yang dah kita rugi...Allah..Allah...
" Pesakit: " (menitis air mata...) Abang..bacakan saya al-Quran...saya tak boleh baca..buta tajwid... "
Abang misi tersenyum. Dikeluarkan al-Quran mini dari kocek bajunya.
sumber: FB Uswatun Hasanah

* Rebut peluang berkhidmat ini sementara usia dan tenaga masih berbaki. Ada sebab Allah pilih kita berada di sini. 



TAZKIRAH : MENDIDIK BUKAN MEMAKSA:SUPAYA ANAK SUKAKAN ILMU

TAZKIRAH : MENDIDIK BUKAN MEMAKSA:SUPAYA ANAK SUKAKAN ILMU

Pernah tak anda rasa seperti yang saya rasa ini?
Ada satu masa dahulu, saya kurang sihat dan ke klinik di Seksyen 3 Bangi bersama Yaya. Sambil menunggu giliran, saya suruh Yaya ambil buku cerita yang disediakan di rak buku di dalam klinik itu. Saya suruh dia baca.
Tengah terkial-kial Yaya membaca buku tu..mengeja di sana-sini, tiba-tiba datang seorang budak perempuan yang tinggi dia macam Yaya duduk di sebelah dan terus ambil satu buku dan terus baca dengan sangat lancar.
“Wow, terernya budak ni saya terkesima dan memuji di dalam hati.”
Tiba-tiba datang satu perasan yang muncul entah dari pelusuk mana: “Jealous nya!!”
Saya jealous, sebab saya agak budak tu umur lebih kurang macam anak saya tapi dia dah baca lancar dan anak saya terkial-kial?
“Wah, tak boleh jadi ni”
Tuan puan nak tahu apa saya buat lepas tu?
Sejak itu pantang masuk dalam kereta, saya sediakan buku untuk Yaya baca. Terutama ketika dalam perjalanan ke sekolah. Kalau tak buku cerita, buku membaca English, atau buku iqra’. Kalau dia main-main, mulalah mama jadi ‘cikgu yang garang’ hehe.
Saya ingatkan saya sedang prepare ‘mind’ Yaya untuk belajar di kelas nanti, tapi satu hari cikgu Yaya bertanya:
“Puan, kenapa Yaya seminggu dua ni asyik blurr je dalam kelas. Saya ajar tapi dia macam tak boleh nak tangkap”
Terperanjat saya dengar cerita cikgu.
“Eh, kenapa pula ni?”
Saya tertanya-tanya dalam hati.
Selang beberapa hari selepas itu, saya mendengar satu perkongsian (tak ingat dari mana). Katanya yang saya faham lebih kurang begini:
“Pagi-pagi jangan buat anak stress terutama ketika on the way ke sekolah. Sebab nanti akan mengganggu fokusnya di dalam kelas”
Beliau ada menerangkan kenapa, tapi saya lupa. Yang saya ingat ialah:
Jangan buat anak stress ketika dalam perjalanan ke sekolah
“Ya Allah, apa aku dah buat ni?’
Marahnya saya kat diri sendiri, sampai saya ‘haramkan’ Yaya untuk baca buku dalam kereta.
“Mama sorry, Yaya. Mama janji mama takkan paksa-paksa Yaya untuk baca buku. Lets have some fun learning“
Sejak itu, instead of baca buku ketika dalam perjalanan ke sekolah, saya ajak Yaya untuk borak-borak. Kami borak-borak pasal pokok bunga yang dia nampak cantik, pasal kereta di hadapan, pasal uncle yang naik basikal ramai-ramai untuk pergi kerja.
Dari situ…..Ya Allah, barulah saya tahu banyaknya yang saya boleh ajar anak. Sebab rupanya banyak yang anak ingin tahu!
Anda percaya tak, pagi tadi dalam perjalanan ke sekolah saya bercerita kepada Yaya tentang bagaimana berlakunya proses siang dan malam secara saintifik? (saya tak ingat bila saya belajar tentang ini di sekolah, tapi yang pastinya bukan pada umur 6 tahun)
Masa tu kami baru 2 minit keluar dari rumah. Baru saja meninggalkan pondok Pak Guard, tiba-tiba si tuan puteri menjerit:
“Mama tengok tu, subhanallah cantiknya matahari tu..”
Katanya dengan suara riang, sambil menunjuk ke matahari yang merah cahayanya.
Subhanallah memang cantik, sebab dalam kemerahan warnanya ia sebenarnya sedang ditutup oleh ‘bucu-bucu’ awan sehingga menampakkan permandangan yang indah sekali.
“A’ah Yaya cantik kan..subhanallah”
Saya mengiyakan. Tiba-tiba Yaya bertanya:
“Mama, matahari tu kan Allah yang cipta, tapi dia datang dari mana?”
Mula-mula saya pelik dengan soalan dia. Apa yang dia maksudkan? Tapi bila saya cuba berfikir macam seorang anak umur 6 tahun baru saya faham.
“Eh, a’ah betul jugak kan.”
Mesti dia tengok matahari ni bila pagi dia mula nampak. Nanti malam dia hilang pula. Agaknya dia fikir, matahari tu macam ada rumahnya yang kadang-kadang dia keluar rumah kadang-kadang dia menyorok. Jadi dia datang dari mana?
“Isk macam mana nak jawab ni?”
Hehe mama pun confusedkejap.
Alhamdulillah, masa terfikir-fikir tu saya terus teringat proses pertukaran malam dan siang, penjelasan dari sudut saintifik. Tentang kedudukan bulan, matahari dan bumi dan bagaimana bumi berputar sehingga setiap hari ada masa kita nampak matahari, ada masa kita tak nampak matahari.
Sambil driving, saya terangkan kepada Yaya. Bila lampu merah je, siap guna tiga objek untuk menggambarkan kedudukan matarari, bulan dan bumi dan buat simulasi.
Mula-mula dia tak faham hehe, kemudian saya cuba terangkan sekali lagi.
“Ooooo…tadi Yaya tak faham. Now Yaya dah faham”
Katanya dengan wajah ceria.
“Hebatkan Allah, Yaya. Allah boleh buat kita nampak matahari masa siang. Masa malam, kita jumpa bulan pula. Sebab itu ada siang dan malam”
Cerita saya lagi dan yaya menganggukkan kepalanya.
Ya Allah, seronoknya rasanya bila saya tahu rupanya banyak sangat yang saya boleh ajarkan kepada anak walaupun ketika dalam perjalanan ke sekolah. Yang paling best, ia adalah ilmu praktikal yang anak sendiri sebenarnya ingin tahu (curious).
Tiap kali soalannya terjawab, mukanya punyalah happy macam baru dapat ais krim coklat kegemarannya. Siap dengan “Oooooo” bukan main panjang hehe.
Dan yang paling-paling best, bila saya kaitkannya dengan Allah, Tuhan yang menyayanginya.
Ini lebih besar ertinya dari asyik meminta anak belajar membaca sehingga menekan dirinya apatah lagi bila wujud rasa membanding dengan kanak-kanak lain.
Usah dirisau, kerana anak yang ‘bonding‘ dengan Tuhannya pasti akan menjadi anak yang berjaya. Sebab dia tahu Allah suka orang yang menuntut ilmu dan memberi manfaat kepada orang lain dengan ilmu, kelayakan dan kepakaran yang dia ada.

Nukilan: Dr Siti Ujila I Universiti Putra Malaysia (UPM)

Hai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi.

(Al Munafiqun: 9)

TAZKIRAH : "MACAM MANA NAK ISTIQAMAH BUAT IBADAT & JAGA DIRI DARI MAKSIAT"

TAZKIRAH : "MACAM MANA NAK ISTIQAMAH BUAT IBADAT & JAGA DIRI DARI MAKSIAT"

Jaga "suasana" kita .
Dulu saya tak faham kenapa lah abah aku ni kumpulkan semua dan suruh dengar bacaan hadis dan Quran setiap hari dan dua kali. Lepas subuh dan maghrib. Hari-hari pula tu! Kau ngantuk ke penat ke asalkan kau ada kt situ. Istiqamah abah usahakan benda ni dengan sabar bertahun-tahun walaupun kami adik beradik mula-mula tak paham. Ada yang main handphone, tidur, ketawa-ketawa, fikiran melayang dan lain-lain . Hahaha! Bukan lama pun. Istiqamah dia suruh dengar dlm 10-15 minit je. Masa saya belajar di MMU pun dia bagi sebuah kitab , suruh istiqamah baca. Baca sorang pun takpa kalau kawan tak nak dengar.
Lagi satu abah saya jenis belum masuk waktu solat dia dah bising-bising kat adik-adik lelaki suruh bersiap untuk pergi ke surau. Bising bukan marah tapi macam alarm clock. Dia akan cakap "ni lagi 10 minit ni azan, dah boleh tutup TV dan masuk bilik air". Semua stress! Apahal belum masuk waktu dah kena masuk bilik air ni?! Semua dah mula tolak menolak tak nak pergi. Hahaha
Rupa-rupanya dia buat itu semua unttk bina suasana agama dalam rumah. Fikir risau agama dalam rumah. Baca hadis dan quran lepas subuh, sebagai ingatan sepanjang waktu siang. Baca lepas maghrib, untuk ingatan sepanjang waktu malam. Abah bising-bising sebelum azan tu supaya nak didik solat di awal waktu. Kena sedia sebelum azan. Jadi kami yang perempuan-perempuan ni dah terbiasa. Kadang-kadang azan baru saja 3 minit berlalu tapi rasa macam dah terlewat sangat dah.
Saya ingat lagi abah cakap,kenapa buat ini semua sebab iman umat akhir zaman adalah iman suasana. Iman yang berubah rubah dan tidak tetap. Jika suasananya baik, baik lah kita. Jika suasana buruk dan lalai, lalai lah kita .kalau kita tak usahakan diri utk baca Quran atau sekurangnya hadis mcm mana kita nak ada suasana agama dlm rumah?
Bangun subuh lewat. Pergi keja kalau tak mengumpat kita dengar orang mengumpat. Masa lunch cerita dunia cerita pasal orang. Balik kerja buka tv, tengok rancangan hiburan. Ceria popstar, gempak superstar la, sekarang ni dangdut star pula. Sampai ke malam kita buka tv. Suami balik cerita dunia lagi. Cerita pasal kerja, pasal jiran, pasal pelajaran anak tapi kita takda usahakan tanya pasal iman ahli keluarga kita. Cakap-cakap kita kat rumah pun takda pasal kebesaran Allah. Sudah 20 tahun berkeluarga pun kita tak ajar anak kita yang "Allah yang bagi makan". Jadi di bahagian mana yang kita usahakan untuk bina suasana agama? Jawapannya "tiada". Solat kita pun paling lama 5 minit.
Saya cerita ni bukan nak kata keluarga saya dah hebat. Tapi itulah yang abah usahakan atas keluarga kami bertahun-tahun. Kami masih lagi bermujahadah untuk istiqamah, setiap hari! Saya yang berada dalam suasana agama pun kadang-kadang terbabas dan lalai. Macam mana dengan kawan-kawan saya yang langsung tidak didedahkan dengan benda ini semua? Moga Allah pilih k-awan-kawan dan keluarga kawan-kawan saya untuk ada fikir risau agama.
sumber: Puan Farihah Zulkifle




TAZKIRAH : BERBAIK SANGKA DENGAN ALLAH

TAZKIRAH : BERBAIK SANGKA DENGAN ALLAH

Suatu hari, sebelum pulang dari pejabat, sang suami menelefon isterinya, "sayang, alhamdulillah, bonus akhir tahun saya sudah terima, RM5000." Di balik telefon, sang isteri tentu saja mengungkapkan rasa syukurnya, "Alhamdulillah, semoga berkat ya bang".
Sejak beberapa bulan yang lalu mereka sudah merancang untuk membeli motosikal untuk kemudahan dirinya berulang alik ke pejabat. Dan duit bonus yang diterima kali ini, mereka merasakan cukup untuk membeli motosikal itu sesuai dengan budgetnya.
Namun dalam perjalanan pulang, dia dihubungi oleh ibunya di kampung, "Nak, kamu ada simpanan? Tadi ada orang datang ke rumah. Rupanya almarhum ayahmu mempunyai hutang pada dia, RM2000." Tanpa berfikir panjang, dia pun memberitahu ke ibunya, "Iya, baiklah, insyaAllah ada." Dia berfikir, "Taka da yang perlu dirisaukan, masih cukup untuk beli motosikal yang RM3000, mungkin ini lebih baik."
Dia pun meneruskan perjalanan. Sebelum sampai di rumah, telefon tangannya kembali berdering. Seorang sahabat karibnya tiba-tiba menghubunginya sambil menangis. Sahabatnya itu sambil teresak-esak mengabarkan bahawa anaknya perlu segera dibedah minggu ini. Banyak pembiayaan yang tidak boleh didapati dari pihak insuran atau bantuan kerajaan lain. Sahabatnya itu memohon untuk meminjam RM2000 darinya
Lalu dia berfikir sejenak. Duit bonusnya kini tinggal RM300. Jika ini diberikan kepada sahabatnya, maka tahun ini ia gagal membeli motosikal impiannya. Tapi nuraninya mengetuk, "Berikan padanya. Mungkin ini memang jalan Allah untuk menolong sahabatmu itu. Mungkin ini memang rezekinya yang datang melalui perantara dirimu." Maka dia pun menuruti bisikan hati tersebut.
Setibanya di rumah, dia menemui isterinya dengan wajah yang lesu. Sang isteri bertanya, "Kenapa, bang? Ada masalah? Murung je lepas dapat bonus?" Sang suami menghela nafas panjang untuk memulakan cerita, "Tadi ibu di kampung telefon, perlukan RM2000 untuk bayar hutang almarhum bapak. Tidak lama selepas itu, seorang sahabat abang juga telefon, perlukan RM2000 untuk pembedahan segara anaknya. Jadi duit kita tinggal RM1000 sahaja. Maaf ya, tahun ini kita tidak jadi beli motosikal lagi."
Sang isteri pun tersenyum, "Aduh, bang, saya ingat apa tadi. Bang, duit kita yang sebenarnya bukan yang RM1000 itu, tapi yang RM4000. Duit yang kita infakkan kepada orang tua kita, kepada sahabat kita, itulah harta kita yang sesungguhnya. Yang akan kita bawa menghadap Allah, yang tidak mungkin boleh hilang jika kita ikhlas. Sedangkan yang RM1000 yang masih berbaki itu, masih belum jelas, adakah harta itu hak kita atau akan menjadi milik orang lain." Terang isterinya seperti seorang ustazah yang penyayang.
Sang isteri pun memegang tangan suaminya, "Bang, insyaAllah ini yang terbaik. Boleh jadi jika kita beli motosikal pada waktu begini akan mendatangkan keburukan bagi kita. Boleh jadi juga musibah besar mungkin. Maka mari berbaik sangka kepada Allah, kerana kita hanya tahu yang kita inginkan, sementara Allah-lah yang lebih tahu apa yang kita perlukan sebenarnya."


“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.”
(Al-Baqarah: 216)


TAZKIRAH : TENANGKAN DIRI

TAZKIRAH : TENANGKAN DIRI

Al Quran tak pernah disentuh,
 Zikir tak dibiasakan,
 Sejadah selalu terlipat,

Lalu, kau tanya mengapa hati tidak tenang?
Sebenarnya Kau sendiri tahu jawapannya.....

Orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah  hati menjadi tenteram (al-Ra`d:28)

Al-Mawardi mentafsirkan “zikrullah”  dengan maksud ketaatan, balasan dan janji Allah SWT.
Sementara Ibn Asyur  mengatakan  “zikrullah”   bermaksud perasaan takut dan menjaga diri dengan melakukan suruhan dan meninggalkan larangan. Ia juga bermaksud al-Quran dan zikir dengan lidah.
Ringkasnya,  “zikrullah”    bermaksud  kita  menguatkan hubungan dengan Allah SWT  dengan tunduk dan patuh kepada agamaNya dan pengertiannya tidak tertumpu hanya kepada maksud zikir dengan lidah sahaja.
Boleh dikatakan,   kebanyakan   manusia yang mengalami tekanan jiwa  atau  sakit jiwa  disebabkan  hubungan mereka dengan Allah SWT  amat  jauh.  Oleh kerana itu umat Islam jarang  sekali yang  menghadapi tekanan  jiwa,  sebagaimana yang  berlaku kepada umat manusia moden hari ini,  kecuali   gaya hidup umat Islam tidak jauh bezanya dengan orang bukan Islam. Allah SWT berfirman:
Dia-lah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada).

sumber: Panel MUIS

TAZKIRAH : JANGAN DIULANGI KEJUTAN "TIBA-TIBA"

TAZKIRAH : JANGAN DIULANGI KEJUTAN "TIBA-TIBA"


"AHLAN WASAHLAN YA RAMADAN". Bergema ucapan alu aluan daripada muslim yang rindukan bulan pesta ibadah ini. Alhamdulillah ya Allah! Engkau ketemukan aku lagi dengan Ramadan, padanya ada sesuatu yang didamba kekasih-mu.
Mungkin berkat bulan ramadan ini, tambahan pula, syaitan dirantai, maka apa yang terjadi, ramailah manusia
Tiba tiba ibadah digandakan
 Tiba tiba bangun qiamullail
 Tiba tiba tahap kesabaran meningkat
 Tiba tiba segala perkara sia sia ditinggalkan
Alhamdulillah sangat baik seandainya ibadah sepanjang bulan ramadan dilakukan dengan mengejut dalam usaha melatih jiwa dan mengawal nafsu.
Namun JANGAN DIULANGI KEJUTAN "TIBA TIBA" itu seawal hari pertama graduate dari madrasah ramadan.
Tiba tiba makan banyak
 Tiba tiba mendedahkan aurat
 Tiba tiba terlupa di mana al Quran
 Tiba tiba meninggalkan masjid
 Tiba tiba meninggalkan amalan sunat
 Tiba tiba memulakan kembali agenda sia sia
Apakah semua ini? Adakah satu perbuatan membalas dendam? Kepada siapa?
Ayuh koreksi diri. Apa niat utama kita puasa sebulan? Adakah sekadar ingin berpuasa dan fokus kepada ibadah hanya dalam tempoh sebulan sahaja? Apakah ibadah sepanjang ramadan dapat menebus semua kealpaan kita daripada mengingati Allah selama 11 bulan berbaki?
sumber: Dakwah JAKIM

TAZKIRAH : ERAT HUBUNGAN SESAMA SAUDARA

TAZKIRAH : ERAT HUBUNGAN SESAMA SAUDARA

Aku cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda daripada aku. Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar ayah.
Petang itu, pulang saja dari sekolah - ayah memanggil kami berdua. Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.
"Siapa ambil duit ayah?" tanya ayah bagai singa lapar.
Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua
kami membisu,cuma tunduk memandang lantai.
"Baik,kalau tak mengaku,dua-dua ayah rotan!" sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku.
Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata, "Saya yang ambil!"
Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik. Aku gamam,lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun airmata adik tak tumpah.
Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut:
"Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?"
Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun adik cukup tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk.
Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang takut berkata benar. Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu berkata,"Jangan menangis kak,semuanya dah berlalu!." Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik.
Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti.
Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata, "Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran. Abang bangga sekali!"
"Tapi apalah maknanya bang...!" aku terdengar ibu teresak-esak.

"Dimana kita nak cari duit membiayai mereka?"
Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu.
"Ayah,saya tak mahu ke sekolah lagi!"
Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung wajah emak,kemudian wajah adik dalam-dalam.
Panggggg....sebuah penampar singgah di pipi adik. Seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis.
"Kenapa kamu ni?Tahu tak,kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan
kamu, ayah akan lakukan!"
"Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan," aku memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak.
"Kakak perempuan...biarlah kakak yang berhenti."
Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya. Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat.....
"Kak...untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya cari kerja dan akan kirim wang buat akak."
Apa lagi yang saya tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah.
Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa: "Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!"
"Pemuda kampung?" bisikku. "Siapa?"
Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen. "Kenapa sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang!"
Sambil tersenyum dia menjawab, "Akak lihatlah pakaian adik ni. Apa yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?"
Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik.
Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara, "Akak tak peduli apa orang lain kata."
Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu.Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata, "Kak, saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak."
Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul adik dan dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan.
Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen. Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu.
"Emak,tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik."
"Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka."
Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan.
"Sakit ke?" aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya.
"Tak....Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa. Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja keras."
Apalagi...aku menangis seperti selalu.
Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik.
"Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?" kata adik.
"Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik ada."
"Adik tak ke sekolah pun kerana akak." kata ku memujuk.
"Kenapa sebut kisah lama, kak?" katanya ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya.
Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruacara majlis bertanya, "Siapakah orang yang paling anda sayangi?"
Spontan adik menjawab, "Selain emak, kakak saya...." katanya lantas menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati.
"Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah.Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya. Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar."
"Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila."
Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria.
Semoga bermanfaat perkongsian ini.
Pengorbanan sekecil mana pun,pasti diingati..dikenang..janganlah berharap balasan semahal mana...kerana yg sikit itu sebenarnya ..itulah yg bernilai besar..
 Ingatlah akan sillaturahim sesama manusia, apatah lagi sesama adik beradik.
sumber: JAKIM
“Tidaklah masuk surga orang yang suka memutus, (memutus tali silaturahmi)”.
[Mutafaqun ‘alaihi]

* Syawal masih berbaki. Hubungkan silaturahim sesama saudara. Berikan kemaafan selagi masih bernyawa.


TAZKIRAH : MAAFKAN ABAH WAHAI ANAK

TAZKIRAH : MAAFKAN ABAH WAHAI ANAK

Hari yang cukup meletihkan. Menyakitkan. Memeritkan. Empat jam penuh debaran dan bergelut dengan nyawa akhirnya disudahkan dengan tangisan.
Tangisan seorang bayi lelaki. Tangisan kegembiraan diri sendiri juga. Suami di sisi juga mengalirkan air mata. Anak sulung kami.
Ajaib. Terasa hilang seketika seluruh kesakitan melahirkan tadi tatkala melihat bayi lelaki yang masih kemerahan kulit badannya di depan mataku sendiri.
Alhamdulillah. Syukur yang tak terhingga. Jururawat membawa anak sulungku itu ke sisiku.
Ku kucup pipinya yang comel. Bayi yang tengah menangis tadi mereda tangisannya. Mungkin mengenali aku ini ibunya.
“Mama dan abah tunggu kamu sembilan bulan, tau.”
Bergenang air mataku sekali lagi mengingatkan peritnya dan besarnya dugaan selama mengandungkan anak pertama. Dengan pelbagai ragam diri sendiri, asyik nak muntah, cepat sensitif, cepat nangis, cepat marah, asyik nak pitam pening kepala. Tuhan sajalah yang tahu. Nasib baik dapat suami yang memahami.
Kami bernikah tahun lepas. Terus bunting pelamin. Suamiku orang biasa saja. Bukan ‘suamiku ustaz’ bagai tu semua. Taklah kaya. Cukuplah apa adanya. Cukup ada rumah sewa untuk didiami, cukup makan pakai sekadarnya.
Aku pun biasa-biasa. Macam orang keramaian saja. Tudung pun tak betul lagi. Suamiku kata, ‘nanti awak dah ready, pakailah betul-betul.’ Dia sendiri pun masih dengan seluar pendeknya bila keluar dari rumah. Aku pernah tegur. Dia kata, dia pun tak ready lagi. Sama macam aku tak ready.
Jururawat dah selesai mencuci bersih anak kami, berbungkus selimut. Dah wangi-wangi. Menyerahkannya kepada kami.
Doktor pun sudah menyelesaikan tugasnya, cuci luka dan sebagainya yang berkaitan. Aku dipindahkan ke katil dan wad lain yang telah siap disediakan.
Mertuaku dan ayah mak dah ada di sisi. Semua orang ada. Dengan muka gembira. Yang tua, happy dapat timang cucu. Aku dan suami happy dengan orang baru dalam keluarga kami. Dipeluk cium bayiku yang comel tu.
“Azankanlah di telinga budak tu.”
Ibuku bersuara. Diserahkan bayi dalam dakapannya tadi kepada suamiku.
 Suamiku menyambutnya dengan cermat.
“Kena azan ke?” Suami bertanya. Errr..
Suamiku terdiam seketika.
Dalam 10 minit dia diam. Ibu bapaku dah rasa pelik. Dah kenapa pula dengan menantunya itu.
Tiba-tiba suamiku itu menangis. Menitiskan air matanya. Jatuh menitik ke muka anak kami.
“Maafkan abah. Abah tak pandai nak azan. Sungguh, abah tak reti.”
Aku sebak. Ibu bapaku terkejut sedikit. Namun, tenang saja. Mentuaku nampak seakan dah tahu.
“Abah tak jujur pada mama kamu. Bila masuk waktu solat, abah kata nak pergi masjid. Tapi, sebenarnya abah tak pergi pun.
Abah keluar lepak dengan kawan-kawan. Abah tak pernah jadi imam di rumah untuk mama kamu. Apatah lagi mengajar mama Al-Quran. Abah tak reti. Maafkan abah. Maafkan abah.”
Suamiku itu terus menangis sambil mendakap anak lelaki sulungnya itu. Anak itu tidak pula menangis. Seakan-akan memahami ayahnya sedih.
“Maafkan saya, ma, abah. Maafkan saya.”
Suamiku itu meminta maaf dengan parentsku dan mentuaku. Aku turut menitiskan air mata. Selama ini, suamiku itu tak pernah macam hari ni.
“Takpe. Biar ayah saja azankan. Tapi, janji dengan ayah dan mak, lepas ni kamu berdua kena sama-sama pergi belajar agama. Kamu suami adalah pemimpin keluarga.
Baiki diri. Jangan selesa dengan perangai zaman bujang. Dah tak sama dengan zaman berkeluarga. Dekatkan diri dengan Allah. Kamu yang akan bawa anak dan isteri kamu kepada Syurga Allah.
Kita keturunan Nabi Adam dan Hawa yang berasal dari Syurga. Kampung asal kita di sana. Kita tak nak balik ke kampung yang satu lagi tu.”
Suamiku bangun dan memeluk ayahku, memeluk ayahnya. Berjanji akan berubah sepenuh hati. Menangis-nangis menyesal dan insaf.
Syukur. Anak yang baru lahir itu adalah pencetus hidayah Allah kepada suami dan aku sendiri.
Aku tersenyum dalam tangisan. Moga semua lelaki di dunia ini persiapkan diri dengan agama sebelum berkeluarga. Jangan diharap pada si isteri yang kena merubah suami.
Mohon sayangi isteri dan suami masing-masing walaupun tidak sempurna sikapnya, soleh atau solehahnya. Allah dah satukan kamu berdua kerana Dia tahu pilihan-Nya terbaik. Sama-sama berubah ke arah lebih baik.
Penulis: Muhammad Rusyidi