TAZKIRAH : BESARNYA NIKMAT SIHAT & LAPANG

TAZKIRAH : BESARNYA NIKMAT SIHAT & LAPANG



Pernahkah anda sakit gigi? Sakitnya bukan kepalang, nak tidur tak boleh, duduk salah, berdiri salah. Semua orang nak di marah. Rasa nak cabut segera, nak baik segera. Bila sebut nak baik segera, bermakna jika tak sakit gigi itu adalah satu nikmat dari Allah yg selama ini tidak terasa.


Pernahkah anda sibuk. Pagi pergi kerja, petang balik tersangkut dalam perjalanan, sampai rumah keletihan, sibuk nak penuhi permintaan anak, nak pergi beli makanan dan lain-lain. Masa bagaikan tidak cukup 24 jam. Esok sedang menunggu lagi aturan hidup.


Pada ketika ini tentu anda pernah terfikir bila ada masa lapang, bila boleh cuti, nak pencen lambat lagi; nak buat ibadat, nak ke masjid. Itulah nikmat kelapangan yg hilang bila kita disibukkan.


Allah memberikan kepada kita nikmat yang banyak, tetapi disebabkan yang banyak itu diperolehi percuma, tanpa bayaran, berterusan pula, maka kita lupa nilainya. Apalagi bila nikmat itu diberi sejak lahir, tak putus-putus. Apabila nikmat itu hilang, maka baru terasa tinggi nilainya.


Ada dua nikmat yang nabi sebut yang tidak terasa tetapi bila ia hilang atau ditarik balik oleh Allah barulah kita terasa ia amat besar. Sabda Nabi

”Dua nikmat yang ramai orang tertipu di dalamnya iaitu kesihatan dan kelapangan waktu.” Riwayat Bukhari


Sihat dan kelapangan waktu adalah nikmat yang besar yang diperolehi sejak lahir dan berterusan. Nilainya nikmat sihat hanya akan dirasai bila kita sakit, cukuplah sekadar sakit gigi.


Bila mereka sihat mereka lupa nikmat tak sihat, lupa mengingat Allah. Maka Allah tarik nikmat ini dengan memberikan mereka tidak sihat, sakit sebagai peringatan bahawa mereka sedang tenggelam dalam nikmat yang tidak terasa.


Sebab itu Allah menyuruh kita selalu bersyukur kerana banyak nikmat yang tidak terasa. Bagi mereka yg tidak bersyukur bahkan melakukan maksiat dengan nikmat yang Allah beri, merekalah yang dikatakan kufur nikmat.


Masa lapang adalah nikmat sebenarnya yang Allah beri untuk dimanfaatkan khusus bagi mengingati Allah kerana ibadat itu sebenarnya satu kerehatan bagi jiwa dan rohani. Masa lapang boleh diguna untuk menjalin silaturrahim dalam keluarga dan masyarakat, menambah ilmu, memenuhi tuntutan diri.


Tetapi ada orang menggunakan masa lapang untuk tidur, bersuka-suka, tengok tv, berborak dengan kawan di kedai kopi dll. Bila kesibukan datang kembali, mereka terus melupakann Allah.


Ingatlah, Allah memberi kesakitan dan kesibukan sebagai ujian dan peringatan. Berbahagialah orang yang sakit dan sibuk akhirnya pulih dan ada kelapangan untuk kembali kepada Allah.


Bagaimana jika kita sakit terus membawa mati? Bagaimana jika kita sibuk hingga ke hari kematian kita. Maksudnya Allah tidak memberi peringatan terhadap dua nikmat yg tidak terasa ini.


Akhirnya, saya contohkan diri saya sendiri yang setiap selang sehari kena ke hospital untuk dailisis. Ia ibarat pergi membeli kehidupan untuk hidup sehari lagi dengan nilai RM200 kerana dailisis selang sehari. Pakar buah pinggang siap memberi amaran jika cikgu tak mai 3 atau 4 hari, mungkin cikgu mungkin sudah kembali.


Nikmat sihat telah hilang dari saya tetapi saya bersyukur kerana saya masih boleh hidup walaupun terpaksa membayar dengan harga yang mahal. Kepada mereka yang sihat, ingatlah, ada orang terpaksa membeli hidup ini, hidup ini bukan lagi percuma. Manfaatkan hidup semaksimanya.


Hadis nabi,

”Pergunakan lima perkara sebelum datang lima perkara. Mudamu sebelum tua mu. Sihatmu sebelum sakitmu. Kayamu sebelum miskinmu. Masa lapangmu sebelum sibuk.Hidup sebelum mati.”


Bila anda sakit, itu peringatan dari Allah mungkin kita terlalai dari nikmat sihat untuk bersyukur kepadaNya, jika terasa terlalu sibuk, itu satu petanda kita tidak manfaatkan kelapangan untuk mengingat Allah.


 Sumber: Cikgu Abdul Ghani Haron

No comments