TAZKIRAH : LUASKAN SALAM MU!

TAZKIRAH : LUASKAN SALAM MU!

Ada seorang wanita bekerja sebagai bos kilang daging. Pada satu hari selepas waktu bekerja wanita tersebut masuk ke dalam bilik khas membeku daging untuk melakukan pemeriksaan. Semasa sedang khusyuk memeriksa tiba-tiba pintu bilik tersebut tertutup dengan sendiri.
Sehubungan dengan itu, wanita tersebut cuba untuk membuka pintu bilik pembeku tersebut tetapi gagal. Beliau cuba menjerit untuk meminta pertolongan namun tiada seorang pun yang mendengar kerana semua pekerja kilang telah beransur pulang. Suhu bilik pembeku daging yang semakin sejuk memaksa wanita tersebut untuk mencuba pelbagai cara bagi melepaskan diri namun semuanya gagal.
Akhirnya wanita tersebut penat dan tidak berdaya lagi untuk berbuat apa-apa. Setelah hamper tiga jam berada di dalam bilik tersebut,wanita itu terbaring dan semakin mengeras kesejukan namun masih bernyawa. Dalam keadaan nyawa-nyawa ikan, tiba-tiba dia ternampak pintu bilik itu dibuka, wanita itu cuba untuk membuka mulut meminta tolong tetapi dia sangat lemah dan hampir beku.
Rupa-rupanya, sekuriti kilang daging itu telah datang dan membantu wanita tersebut.
Dipendekkan cerita,setelah sihat sepenuhnya, bos wanita tersebut bertanya kepada sekuriti bagaimana dia tahu bahawa ada orang terperangkap di dalam bilik pembeku itu..
Sekuriti itu menjawab setiap hari puan datang ke kilang, puan akan tegur saya dengan pelbagai ucapan yang ceria, memberi salam, selamat pagi, hello dan ayat-ayat yang baik-baik sahaja. Sebelum puan keluar dari kilang pun puan akan berkata jumpa lagi esok dan sebagainya.
Setiap hari puan tidak jemu untuk menegur saya sementara mereka yang lain seolah olah tidak nampak kehadiran saya di pintu pengawal ini. Sehingga la pada hari ini, saya perasan tidak ada perkataan jumpa lagi esok dari puan, jadi saya menjangka sesuatu yang buruk tentu telah berlaku kepada puan.
Saya mencari puan sebab perkataan yang puan ucapkan kepada saya bagaikan memberi semangat dan motivasi kepada saya tetapi hari ini saya seolah-olah ada sesuatu yang tak kena sebab itulah saya mencari puan. Wanita itu sangat terharu dan berhutang nyawa ke atas sekuriti tersebut. Tidak disangka amalan menegur sapa dengan baik yang diamalkan akhirnya menjadi penyebab dirinya diselamatkan.
Oleh itu, marilah kita sama-sama terus menjadi agen penyebar salam dan saling mendoakan siapa sahaja yang kita jumpa. Islam itu indah!
Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam, beliau bersabda:
Tidak beriman salah seorang diantara kamu hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.
 (Riwayat Bukhari dan Muslim)


No comments