TAZKIRAH : IKTIBAR CERITA ARNAB & KURA-KURA

TAZKIRAH : IKTIBAR CERITA ARNAB & KURA-KURA

Tersebutlah kisah arnab sedang berjalan-jalan mencari makanan. Tiba-tiba ia terpandang seekor kura-kura yg merangkak-rangkak naik ke tepi sungai.
“Alahai, kura-kura. Mengapalah engkau lambat sangat? Bila nak sampai tu?”
“Sedikit-sedikitlah arnab. Lama-lama  aku sampailah.” Jawab kura-kura.
“Hahaha…gelihati aku lihat cara engkau berjalan. Bilalah engkau nak sampai si tua lambat ni…ha..ha.”
“Jangan engkau hina aku arnab.”
“kalau lumba lari ni, engkau pasti kalah,” kata arnab.
“Belum cuba belum tahu arnab.” Jawab kura-kura.
“Baiklah aku cabar kau, siapa yg sampai dulu ke hutan sana, dia akan menang.”
“Baiklah. Aku terima cabaran kau,” jawab kura-kura.
Dan begitulah kisah itu bermula. Maka berlumbalah arnab dan kura-kura. Satu perlumbaan yang berat sebelah kelihatannya pada mata kasar justeru kaki, ketangkasan dan tenaga arnab jauh mengatasi kura-kura. Ya, setelah lebih separuh perlumbaan, kura-kura ditinggalkan jauh di belakang. Arnab terlampau yakin yang dia akan memenangi perkumbaan itu. Lalu berehat, dan akhirnya tertidur.
Namun bagi kura-kura dengan semangat, keyakinan dan kesungguhan dia terus merangkak dan akhirnya memenangi perlumbaan. Begitulah cerita Arnab dan Kura-kura yang sudah  menjadi bahan bacaan hiburan kanak-kanak. Adakah ia hanya sekadar bacaan saja atau pendorong kanak-kanak itu berjaya? Sebenarnya banyak pengajaran yang boleh diambil dari cerita pendek ini.
Apa yang kita boleh ambil pengajaran daripada cerita ini ialah jika hendak berjaya, bukanlah semestinya ada kepandaian. Tidak semestinya  ada kekuatan. Tetapi yang penting ialah sikap.
Mengikut kajian yang dibuat oleh pakar-pakar pendidikan, kepandaian seseorang, maklumat yang dimilikinya, hanya menyumbang 3 % sahaja kepada kejayaan seseorang. Selebihnya 97% lagi ditentukan oleh sikapnya.
Dalam kisah tadi, jika diukur dari segi fizikal, tentulah arnab ini lebih tangkas lagi. Kakinya lebih panjang, tenaganya lebih banyak. Memang terbukti  ia sudah mendahului kura-kura dalam perlumbaan itu. Malangnya sikap arnab itu sendiri menyebabkan ia gagal.
Apakah sikap negatif yang ada pada arnab? Apa yang menyebabkan ia   gagal? Sikap itu ialah sambil lewa, sikap over confident, sikap bertangguh, sikap berpuas hati dan suka memandang rendah terhadap orang lain. Oleh kerana sikapnya tidak betul, walaupun bakatnya tinggi, walaupun tenaganya banyak, dan mungkin lebih pandai dari kura-kura, tetapi akhirnya arnab kalah dalam perlumbaannya dengan kura-kura kerana sikapnya yang negatif.
Bagi kura-kura pula walaupun kakinya pendek dan tiada kekuatan seperti arnab, tetapi sikapnya betul. Sikap kura-kura ialah lawan kepada sikap arnab  tadi. Kura-kura ini nampak matlamatnya. Walaupun ia telah ketinggalan, tetapi matlamatnya sentiasa di hadapan. Ia tidak mengubah-ubah matlamatnya. Matlamat ia hendak menang dalam perlumbaan. Dan itu terus dipertahankannya hingga berjaya. Sebaliknya, arnab ini pula matlamatnya berubah-ubah. Apabila ia sampai di tengah jalan, matlamatnya berubah kepada hendak berehat yang kemudian tertidur.

sumber: genta-rasa.com

"Dan apa saja -perbuatan baik- yang engkau sekalian berikan -persiapkan- untuk dirimu sendiri, nanti pasti akan engkau sekalian dapati di sisi Allah, keadaannya adalah lebih baik dan lebih besar pahalanya dan mohonlah pengampunan kepada Allah, sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Penyayang."
(al-Muzzammil: 20)

No comments