TAZKIRAH ; JUJUR

TAZKIRAH : JUJUR! 

Suatu masa dahulu, terdapat seorang Maharaja yang perlu memilih pengganti takhtanya. Jadi, dia membuat keputusan untuk mengumpul semua pemuda di dalam jajahannya, lalu berkata, "Sudah tiba masanya beta turun takhta dan mencari pengganti beta untuk mentadbir negeri ini. Oleh itu pada hari ini beta akan memberikan kepada setiap orang dari kamu sebiji benih - benih yang sangat istimewa. Beta mahu kamu menanam benih ini, jaga dan siramlah ia setiap hari dan kembali ke istana dalam masa satu tahun dari sekarang, dan tunjukkan kepada beta hasil tanaman kamu dari benih ini. Kemudian beta akan memilih pengganti beta bedasarkan hasil tanaman yang kamu bawakan kepada beta."
Maka setiap pemuda disitu termasuklah seorang budak lelaki bernama Ling, mengambil sebiji benih dan mula menanamnya. Kira-kira empat minggu kemudian, segelintir di kalangan para pemuda tersebut mula bercerita tentang biji benih yang mereka tanam, serta tanaman yang sudah mula membesar. Ling sering memeriksa biji benih yang ditanamnya, namun tiada apa pun yang tumbuh. Enam bulan kemudian, Ling mendapat tahu yang semua pemuda telah berjaya mendapat pelbagai jenis tanaman, pokok dan bunga. Tetapi biji benih Ling masih tidak tumbuh!
Genap satu tahun kemudian, tibalah hari yang dinantikan dan semua pemuda di dalam jajahan itu membawa hasil tanaman mereka mengadap maharaja. Walaupun ketakutan, Ling tetap pergibke istana bersama mereka. Disitu Ling berasa sungguh kagum melihat para pemuda lain dan hasil tanaman mereka yang pelbagai. Ling meletakkan pasunya yang kosong di atas lantai dan para pemuda lain mentertawakannya.
Apabila Maharaja tiba, baginda meninjau sekitar dewan dan menyambut para pemuda yang berada disitu. Ling cuba bersembunyi di belakang pemuda-pemuda itu. "Memang hebat sungguh jenis-jenis tanaman, pokok dan bungaan yang telah kamu semua tanam" kata maharaja. "Hari ini salah seorang dari kamu akan dilantik menjadi Maharaja yang baru." Tiba-tiba Maharaja ternampak Ling yang berdiri dibelakang kumpulan tersebut. Baginda mengarahkan kepada pengawal untuk membawa Ling ke hadapan. Ling berasa sungguh takut sekali.
Apabila Ling berdiri dihadapan Maharaja, baginda bertanyakan namanya. "Nama saya Ling," dia menjawab. Semua pemuda lain mula mentertawakannya, tetapi Maharaja mengarahkan mereka untuk diam.
Baginda memandang ke arah Ling dan kemudian membuat pengumuman, "Lihatlah! Inilah Maharaja kamu yang baru! Namanya ialah Ling!" Ling sungguh terkejut dan merasa tidak percaya. Biji benihnya tidak membuahkan hasil langsung, bagaimana mungkin dia dipilih menjadi Maharaja.
Kemudian Maharaja berkata, "Setahun yang lalu beta telah memberikan biji benih kepada semua yang berada di sini. Beta telah menyuruh kamu menanam, menyiram, membaja dan membawa hasilnya kembali kepada beta hari ini. Tetapi apa yang kamu tidak ketahui ialah biji benih yang beta telah berikan kepada kamu telah direbus terlebih dahulu. Dan tidak mungkin sebarang tanaman boleh tumbuh daripadanya. Setiap seorang dari kamu telah membawa pokok, tumbuhan dan bungaan, kecuali Ling! Bila kamu semua mendapati yang biji benih tersebut tidak tumbuh, kamu telah menggantikannya dengan biji benih yang lain. Hanya Ling saja yang telah bersikap jujur dan membawa pasu yang mengandungi biji benih yang asal kepada beta. Oleh itu, pada pandangan beta, hanya dia seorang yang layak menjadi Maharaja."
*****
Alangkah hebatnya ganjaran untuk kejujuran!


Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, niscaya Allah memperbaiki bagimu amal-amalmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar.

[Al-Ahzab : 70 – 71]

No comments