TAZKIRAH : CERMIN MATA KEHIDUPAN

TAZKIRAH : CERMIN MATA KEHIDUPAN

Pada suatu petang, seorang datuk sedang duduk berehat bersama cucunya yang berusia 10 tahun di sebuah padang permainan berhampiran rumah mereka. Kelihatan sekumpulan kanak-kanak sedang bermain bola, manakala kanak- kanak yang lain bermain buaian.
Budak lelaki itu berkata kepada datuknya,
"Atuk, atuk nampak tak budak yang duduk di hujung padang tu?" "Ya, kenapa?" "Dia selalu duduk situ sorang-sorang. Rasanya dia tak ada kawan untuk bermain. Lagipun perangai dia peliklah tuk," katanya.
Datuknya tersenyum lalu berdiri dan berjalan ke dalam rumah. Sebentar kemudian, dia keluar sambil membawa dua pasang cermin mata gelap. "Lihat sekelilingmu cu," katanya kepada cucunya. "Lihat sekeliling?" Tanya cucunya kehairanan. "Ya, lihat saja sekeliling cucu. Lihat rumah dan taman itu, jalan raya dan sekelilingnya.
"Sekarang pakai cermin mata ini. Apa yang cucu nampak?" Tanya datuknya. "Semuanya sama. Tapi semuanya berwarna kebiruan." Jawab cucunya. "Okey, buka yang itu, pakai yang ini pula " arah datuknya. "Sekarang apa yang cucu nampak?" "Saya nampak semua sama tetapi kali ini semuanya berwarna keperangan." Jawab cucunya.
Boleh cucu terangkan pada Atuk mengapa cucu nampak semua benda berwarna kebiruan dan keperangan?" Datuknya bertanya.
"Ah..itu senang saja. Sebabnya, tadi saya pakai cermin mata gelap yang bertinta biru dan perang!" Jawab cucunya dengan bangga.
"Tepat sekali. Cucu menggunakan mata yang sama untuk melihat sekeliling. Tapi bila cucu memakai cermin mata bertinta biru, cucu nampak sekeliling semuanya berwarna kebiruan. Warna lain cucu tak nampak jelas dengan cermin mata itu. Sama juga sewaktu cucu pakai cermin mata perang, betul tak?" Tanya datuknya.
"Betul Tuk, tapi apa maksud semua ini?" Cucunya bertanya kehairanan.
"Begini, apa yang cucu nampak mula-mula sekali adalah benda yang sebenarnya. Setiap benda di sekeliling cucu mempunyai warna dan keindahanya tersendiri. Rumah, pokok, jalan itu. Tapi setelah cucu menggunakan cermin mata biru dan perang, pemandangan itu berubah mengikut warna cermin mata yang cucu pakai," jelas datuknya.
"Kalau cucu mahu melihat perkara yang sebenar, cucu mesti tanggalkan semua cermin mata gelap cucu dan pastikan cucu mengamati segalanya dengan mata cucu sendiri. Cermin mata itu melambangkan pendapat buruk atau negatif cucu tentang orang lain yang menghalang cucu dari melihat perkara yang sebenar. Dalam hidup ini, cucu mesti ingat untuk menanggalkan cermin mata gelap supaya cucu boleh lihat dengan jelas, dan cucu dapat lihat semua benda seperti yang sebenarnya," jawab datuknya yang arif.
***************
Subhanallah! Kita pun tertanya-tanya berapa banyakkah cermin mata gelap yang pernah kita pakai ketika mengamati seseorang atau sesuatu benda? Dari mana datangnya cermin mata itu? Berapa banyakkah perkara yang kelihatan 'terpesong' akibat carmin mata yang kita pakai? Sudah berapa lamakah kita memakai cermin mata itu? Siapakah yang telah kita lihat ketika memakai cermin mata tersebut?

“Tidak akan berganjak kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga dia ditanya tentang umurnya untuk apa dia habiskan, tentang ilmunya untuk apa dia amalkan, tentang hartanya dari mana dia perolehi dan ke mana dia belanjakan, dan tentang tubuhnya untuk apa dia gunakan.”
(Hadis Riwayat at-Tirmidzi)


No comments