TAZKIRAH : PENGEMBARA BUTA ATAU CELIK?

TAZKIRAH : PENGEMBARA BUTA ATAU CELIK?

Satu hari seorang lelaki buta berdiri di tepi tiang lampu isyarat. Abu kebetulan mahu melintas jalan memimpin tangan lelaki buta itu. “Pak Cik mahu pergi ke mana?”
Lelaki buta itu menyambut tangan Abu. “Aku nak pergi ke KLCC, ada temujanji di sana. Kamu mahu ke mana pula?”
Abu dan lelaki buta itu bergerak melalui jalur zirafah apabila lampu isyarat bertukar merah.
“Kebetulan, saya juga mahu ke KLCC. Ada temuduga kerja di sana. Mari saya temankan Pak Cik hingga ke LRT.”
Mereka berdua berjalan dan berkenalan ringkas sepanjang langkah dari lampu isyarat sehingga masuk ke pintu masuk KL Sentral.
“Terima kasih kerana membantu. Boleh Pak Cik tahu cita-cita kamu apa?”
Banyak mata memandang Abu yang sedang berjalan dan berbual dengan lelaki buta itu.
“Dulu saya belajar kejuruteraan, sebabnya saya bercita-cita mahu jadi jurutera.”
Tersenyum lelaki yang menggalas beg hitam itu apabila dia menerima jawapan Abu.
“Itu pekerjaan, bukannya cita-cita.”
Mereka masih lagi berjalan, dia sudah nampak mesin menjual tiket LRT. Namun, jawapan balas si buta itu membuatkan langkah Abu menjadi perlahan.
“Maksud Pak Cik bagaimana?”
“Pekerjaan berbeza dengan cita-cita. Pekerjaan ialah kaedah untuk kita berusaha bagi mendapatkan rezeki. Cita-cita pula jawapan kepada soalan untuk apa kita hidup sekarang ini?”
Langkah mereka berdua terhenti di depan mesin tiket LRT. Pemuda itu membeli dua tiket dari KL Sentral ke KLCC. Kemudian, perjalanan diteruskan naik ke tingkat atas mendaki tangga bergerak.
“Nampaknya saya belum pernah fikirkan jawapan untuk soalan itu. Cita-cita Pak Cik pula apa?”
“Jika aku cerita nanti kamu ketawa.”
“Setiap orang ada hak untuk memiliki dan mengejar cita-citanya.”
“Aku mahu mengembara. Ada orang ketawa apabila aku kata mahu pergi mengembara. Mereka ketawa kerana aku buta. Sedangkan mereka yang ketawa itu tidak sedar, walaupun mata aku ini buta aku tahu ke mana aku mahu pergi.”
Mereka mengambil tempat dibelakang garisan kuning menunggu ketibaan tren,
“Pak Cik mahu pergi ke mana? Jika menarik, saya pun mahu ikut serta.”
“Aku tidak pergi ke mana-mana. Sebaliknya hidup aku sekarang ini adalah pengembaraan. Disebabkan aku mahu jadikan syurga sebagai destinasi terakhir.
Aku perlu mengembara di dunia ini bagi mengumpul bekalan selagi aku masih ada upaya? Cita-cita aku adalah syurga.”
Adakah kita penggembara buta atau pengembara celik?
Tuan-tuan, adakah kita ini pengembara buta? Adakah kita tahu untuk apa kita dilahirkan, dibesarkan, diberikan ilmu, kemudian menjadi dewasa, tua dan akhirnya pengembaraan kita di dunia tamat selepas berjumpa Izrail.
Jika kita ingat semula cerita di atas ini tadi. Ramai orang yang ketawa kepada si buta itu. Sedangkan, orang yang ketawa kepadanya itu juga sebenarnya tidak jelas ke mana destinasi akhir yang mereka mahu tuju.


“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.”
Surah Ali-Imran ayat 133.

No comments