TAZKIRAH : MATA LEBAH VS MATA LALAT



TAZKIRAH : MATA LEBAH VS MATA LALAT

Satu kisah motivasi yang terkenal di Amerika Syarikat. Ianya kisah duka seorang isteri juga merupakan ibu kepada dua orang anak kembar. Dia berkahwin dengan lelaki pilihannya. Malang sekali, setelah berkahwin dia baru mengetahui bahawa suaminya merupakan seorang penagih dadah tegar.
Setiap hari dia akan menanti kepulangan suaminya. Sudah pasti hidangan pukulan, tendangan dan tampar dari si suami menjadi rutin harian. Suaminya akan pulang dalam keadaan menggigil dan membelasah si isteri yang enggan memberikan wang kepadanya. Ketagihannya yang melampau membuatkan isteri terpaksa bekerja keras mencari wang untuk menyara kedua anak kembar mereka.
Yang lebih menyedihkan, setiap kali si isteri dibelasah suaminya, perbuatan itu diperhatikan oleh kedua-dua anak mereka. Fenomena ini memberi kesan yang mendalam kepada kedua-dua anak tersebut.
Masa berlalu pantas, rumah tangga ini punah sama sekali. Si suami kemudian meninggal dunia dengan mulut berbuih di bawah jambatan. Si isteri pula tidak lama kemudian meninggal dunia akibat kesan tekanan yang sangat dahsyat. Tinggallah kedua-dua anak kembar ini meneruskan kehidupan sendirian.
Bertahun-tahun kemudian orang menemui seorang daripada kembar tersebut sedang hancur ketagihan dadah terbongkang di bawah jambatan. Di mana saudara kembarnya? Mereka menemuinya di wisma miliknya sendiri di bawah nama syarikat guaman paling terkemuka. Dia menjadi seorang peguam hebat. Ketika ditanyakan kepada mereka berdua tentang nasib hidup yang berbeza, jawapan kedua-duanya adalah sama.
“Saya tengok apa yang ayah lakukan.”
Seorang melihat kemusnahan itu dan menirunya.
Seorang lagi melihat benda yang sama dan bertekad untuk segera membesar bagi membebaskan ibu daripada seluruh kesakitan itu!!
Seorang lagi melihat kehidupan lampau mereka dan motivasinya musnah. Sementara yang seorang lagi melihat kehidupan lampau sebagai pendorong motivasi.
Dua anak membesar daripada susuan ibu yang sama, tinggal di rumah yang sama, bermain di lorong yang sama, makan hidangan yang sama serta menyaksikan semua benda yang sama, tetapi membesar sebagai manusia yang berbeza. Si penagih melihat perangai si ayah untuk dijadikan ikutan. Si peguam melihat perjuangan ibunya membuatkan ia gigih menegakkan keadilan.
Bukan apa yang dilihat, tetapi bagaimana seseorang melihatnya. Itu lebih penting!”
Kesimpulannya, pandanglah peristiwa seperti mata lebah. Segala bau busuk, najis dan kotoran ditolak ketepi. Namun lebah terus mencari bunga lalu mencipta madu. Bukannya seperti pandangan mata sang lalat. Haruman dan bunga ditinggalkan. Mencari najis dan kotoran membiakkan penyakit dan melumpuhkan alam.
oleh: Imam Muda Asyraf

No comments