TAZKIRAH : KESABARAN ITU SATU KEMULIAAN



TAZKIRAH : KESABARAN ITU SATU KEMULIAAN

Satu hari, sedang saya berjalan-jalan di sebuah jalan yang sibuk, saya terdengar suara seseorang menjerit tidak jauh di belakang saya, “Saya benci awak! Saya benci awak! Saya benci awak!!”
Saya menoleh ke belakang dan cuba mencari siapa yang sedang menjerit itu. Saya terlihat seorang wanita menjerit sekuat hatinya dan menangis teresak-esak sambil mendukung seorang anak kecil. Lebih menyedihkan lagi, wanita itu sedang berdiri di tengah-tengah jalan yang sungguh sibuk! Tidak hairanlah kelakuannya itu mengganggu para pemandu di jalan itu, menyebabkan kereta-kereta semua terhenti.
‘Ya Allah! Apa yang dia buat berdiri di tengah jalan macam tu?’ Saya berasa cemas; tubuh dan fikiran saya tiba-tiba terasa kaku.
Tetapi alhamdulillah, beberapa saat kemudian saya sedar dan bergegas mendapatkan wanita itu. Wanita itu enggan dibantu oleh beberapa orang lelaki di situ, maka terserahlah kepada beberapa orang wanita yang berada di situ untuk memujuknya agar beralih ke tepi jalan. Mereka terpaksa memujuknya agak lama sebelum mereka berjaya menenangkan wanita itu, dan kemudian salah seorang wanita di situ berbesar hati menawarkan untuk menghantarnya pulang kerumahnya yang tidak jauh dari situ, Alhamdulillah….
Sekarang baru saya faham maksud Willard Gaylin apabila dia mengatakan:
Menunjukan kemarahan merupakan satu contoh pencemaran awam.
Wah! Kenyataan yang menarik sekali, bukan? Bagi saya, pencemaran awam yang dilakukan oleh wanita tersebut pada hari itu amat jelas sekali. Dan percayalah, memang tidak sedap hati saya apabila melihat kejadian itu!
Saya tertanya-tanya – apakah yang telah mendorong wanita itu untuk ‘mencemar kebersihan awam’ pada hari itu? Apakah yang telah berlaku beberapa minit, jam atau hari sebelumnya hingga dia ‘meletup’ pada hari itu? Atau mungkinkah kejadian itu berlaku akibat kemarahanyang telah dipendam berbulan-bulan atau bertahun-tahun lamanya, hinggakan akhirnya dia terpaksa luahkan dengan cara begitu?
Ketika itulah saya tersedar- kelakuan wanita itu bukanlah sesuatu yang unik! Tidak sama sekali!
Kita juga pernah melakukan kesilapan yang serupa, bukan? Ya, kita juga melakukan pencemaran awam dengan cara kita tersendiri, sama ada kita mengakuinya atau tidak! Baiklah, mungkin pencemaran kita tidak sebesar lori sampah seperti yang dilakukan oleh wanita itu, tetapi paling tidak, kita pernah mencemar dengan seikat beg plastik atau sebakul sampah, satu tin minuman ringan, sekeping kertas atau gula getah yang telah dikunyah, mahu pun dengan ludahan kita (jijiknya!) ke tanah? Anda tentu faham maksud saya – ‘pencemaran’ kecil-kecilan!
Ada yang nak mengaku tak? Tolong angkat tangan? Satu? Dua? Tak pasti? Baiklah, mari kita renungkan hal ini sebentar, okay?
Mari kita fikirkan dan singkap kembali hari-hari yang telah kita lalui minggu ini- adakah kita telah ‘mencemari’ rumah kita pagi tadi ketika bersiap untuk pergi ke tempat kerja sambil menyediakan anak-anak kita untuk ke sekolah? Atau mungkin kita telah ‘membaling sampah’ ke arah ibu bapa kita kerana mengejutkan kita untuk sembahyang subuh agar syaitan tidak dapat mengencingkan kita sedang kita tidur? Atau mungkin kita ‘melontar sampah’ ke arah rakan sekerja kita kerana dia tiba lewat ke pejabat buat kesekian kalinya? Atau adakah kita telah ‘membuang sampah’ ke arah kereta di belakang kerana pemandu itu cuba memotong kereta kita? Atau ‘membaling kertas’ ke arah pelayan restoran yang menyajikan salad ayam untuk kita sedangkan kita memesan stik kambing; dan mungkin semalaman kita telah ‘menghumban sampah’ ke arah pasangan kita sebab perkara-perkara yang remeh?
Alamak…tiba-tiba perasaan bersalah mula meresap ke dalam hati saya…
Mungkin itulah sebabnya nasihat yang berikut diwariskan sebagai panduan untuk kita :
“Seorang lelaki telah berkata kepada Nabi (s.a.w) : “Nasihatilah kepadaku!” Dijawab oleh Nabi (s.a.w): “Usah marah! “ Orang itu berulang kali meminta supaya dirinya dinasihati, namun tetap Rasullullah (s.a.w) mengatakan: “Usah marah!” (Al-Bukhari)
Kemudian saya terjumpa hadith berikut yang merupakan salah satu sebab mengapa Rasullullah (s.a.w) menekankan tentang kemarahan:
“Ada antara kamu yang lekas marah dan lekas tenang, sifat pertama menyeimbangkan sifat kedua; sesetengahnya lambat marah dan lambat pula reda kemarahannya, sifat pertama menyeimbangkan sifat kedua; yang terbaik antara kamu ialah mereka yang lambat marah tetapi lekas reda kemarahannya.” (Al-Tirmidhi)
Thomas Jefferson pernah mencadangkan satu saranan:
Bila anda marah, kiralah satu hingga sepuluh sebelum anda bercakap; jika amat marah, kira hingga seratus.
Berkesankah saranan ini? Mungkin juga, bukan? Tapi saya tak mahu orang yang berdiri di depan saya kehairanan melihat mulut saya terkumat-kamit mengira, betul tak? Dan bukan itu sahaja, bagaimana jika saya masih berasa marah walaupun telah mengira hingga satu juta? Perlukah saya terus mengira hingga dua juta? Alamak!
Nasib baik saya terjumpa hadis di bawah:
“Sesungguhnya kemarahan itu dari api syaitan dan syaitan itu dicipta dari api, dan api itu hanya boleh dipadamkan dengan air. Maka, apabila seseorang di antara kamu marah, hendaklah dia berwuduk.” (Abu Daud)
Tetapi kemudian saya teringat yang saya pernah hilang sabar di tempat yang tiada air! Alamak! Bagaimana kalau ada orang yang menyebabkan saya melenting sewaktu bermesyuarat di pejabat? Alasan apakah yang boleh kita berikan untuk pergi ke bilik air? Atau katakan kita sedang memandu kereta, sedang makan di restoran atau berjalan-jalan di taman bunga dan tiada punca air di situ- apakah yang patut kita lakukan dalam keadaan itu?
Nabi Muhammad (s.a.w) mempunyai satu penyelesaian bagi sesiapa yang sedang dalam kemarahan:
“Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimah yang diucapkan oleh orang yang sedang marah, nescaya akan hilang kemarahannya, iaitu ‘Aku berlindung dengan Allah Ta’ala daripada syaitan yang direjam.’ Jika dia mengucapkan kata-kata ini, kemarahannya akan reda.” (Muslim)
Menajubkan sekali, bukan? Subhanallah…Ucapkan sahaja ayat pendek ini dan kita akan menjadi tenang semula! Hebat betul!
Semoga bermanfaat.
Dipetik dari buku :HIDUP BUKAN RAHSIA- Anda, Saya dan Kita karya Zabrina A.Bakar

Disediakan oleh:
Ustaz Mohd Shazni Abdullah
Pegawai Hal-Ehwal Islam

No comments